Thursday, September 17, 2015
Buat Penyesuaian Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global – Zeti
KUALA LUMPUR : Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz menasihati masyarakat di negara ini agar membuat penyesuaian
dalam pengurusan kewangan bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global
semasa.
Beliau berkata ini kerana ketidaktentuan ekonomi ini akan berterusan selagi isu-isu yang dihadapi dunia tidak diselesaikan.
Sambil menegaskan Malaysia tidak menuju ke arah krisis ekonomi, Zeti
berkata perkembangan global yang menjejaskan masyarakat dunia adalah “di
luar kawalan kita.”
Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar harian berbahasa Inggeris,
The New Straits Times yang disiarkan hari ini, Gabenor BNM itu berkata
rakyat Malaysia perlu mengambil maklum bahawa sekarang adalah tempoh
mencabar bagi semua pihak – negara, individu dan perniagaan.
Kepada individu, beliau menasihatkan mereka untuk belajar berjimat
dan berhemat serta merancang semula gaya hidup mereka sepanjang tempoh
mencabar ini.
“Jika mereka menghadapi tekanan kewangan, mereka perlu memanfaatkan
kemudahan yang ada seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
(AKPK),” katanya.
Zeti turut menasihati pengguna Malaysia serta perusahaan kecil dan
sederhana agar mendapatkan nasihat daripada bank perdagangan berhubung
pinjaman mereka kerana selain mendapat akses kepada pembiayaan, mereka
juga perlu pamerkan keupayaan untuk membayar semula pinjaman.
“Ini yang harus mereka buat dan pelajari bagaimana untuk merancang dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Zeti turut mengingatkan komuniti perniagaan bahawa mereka tidak boleh
lagi mengulangi keuntungan besar yang dicatat semasa keadaan ekonomi
baik.
“Semasa keadaan baik mereka perlu membangunkan penampan yang
membolehkan mereka mengharungi masa-masa sukar. Semuanya bergantung
kepada anda mengenal pasti apa yang harus dilakukan bagi membina daya
tahan anda,” katanya.
Zeti juga menasihati rakyat Malaysia agar meneroka peluang yang ada di dalam negara, daripada ke luar negara.
“Pelancongan domestik menawarkan banyak perkara menarik, atau teliti
peluang pendidikan anak-anak di Malaysia. Di sini pun ada banyak
universiti yang bagus,” katanya.
Suka atau tidak, rakyat perlu mengubah gaya hidup kerana mereka tidak boleh lagi hidup seperti sebelum ini, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment