Thursday, September 17, 2015
Tindakan Kerajaan Selangor Kenakan Tol RM100,000 Untuk Projek ‘Park N Ride’ Dibidas
SHAH ALAM : Tindakan kerajaan negeri Selangor
mengenakan bayaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) RM100,000 setahun ke
atas tapak projek pembinaan tempat letak kereta (Park n Ride) di tiga
stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Petaling Jaya, sangat dikesali.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh
Omar berkata kerajaan negeri sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan
Persekutuan kerana turut membantu dalam menyediakan perkhidmatan awam
terbaik di Selangor.
“Demi kepentingan awam dan status tanah yang merupakan rentas talian
eletrik serta tidak pun dimajukan dengan aktiviti ekonomi, sewajarnya
nilai TOL direndahkan lagi oleh kerajaan negeri.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan
mengurangkan kesesakan dan wajar kerajaan negeri beri sokongan demi
kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan
bantuan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini petang ini.
Projek itu melibatkan kos RM8 juta bagi membina 1,148 lot letak
kereta dan ia dijangka siap Januari tahun depan dengan 551 lot di stesen
LRT Taman Bahagia, 347 lot di stesen LRT Taman Paramount dan 250 lot di
stesen LRT Taman Jaya.
Menurut Noh, pengurangan TOL tidak akan memberi sebarang keuntungan
kepada kerajaan Persekutuan kerana tanggungjawab untuk mengurus dan
menyelenggara tempat letak kereta itu apabila siap kelak akan diserahkan
kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sementara itu, mengenai majlis tersebut, Noh berkata 70 orang
menerima sumbangan dalam bentuk simpanan Amanah Saham Berhad (ASB)
berjumlah RM350,000 dan 60 orang menerima bantuan peralatan berjumlah
RM10,000 setiap seorang.
Seramai 30 orang Asli menerima sumbangan RM600 setiap seorang yang
merupakan wang hasil ternakan lembu yang diuruskan Lembaga Penyatuan dan
Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra),” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment