Monday, September 07, 2015
Che Det Mudah Lupa : Ainina Dipecat Dari Peraturan Yang Beliau Sendiri Buat
Baru-baru ini, seorang ahli Wanita UMNO di Langkawi telah memfailkan
saman terhadap Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak, berhubung dana
sumbangan politik berjumlah RM2.6 bilion menerusi akaun peribadi
beliau.
Ekoran tindakan yang didapati menyalahi peraturan dan ketetapan
perlembagaan parti, ahli Wanita UMNO yang dikenali sebagai Ainina
Saadudin itu telah dipecat keahliannya dari parti dan surat pemecatannya
ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.
Gara-gara itu, maka marahlah Ainina dengan pemecatan tersebut. Malah,
ada pula pihak yang menyokong kemarahan wanita itu sehingga sanggup
menulis surat memuji tindakan Ainina sebagai berani dan berbangga dengan
pendiriannya.
Siapa lagi yang mengutus surat berkenaan jika bukan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengepalai UMNO selama 22
tahun. Penulis yakin, kembang-kempislah hidung wanita itu menerima
pujian dari Mahathir...
Memikirkan senario ini, penulis agak tertarik untuk menjelaskan bahawa
Ainina dipecat adalah berdasarkan Peraturan 20.7 di dalam Perlembagaan
UMNO di mana ia menyatakan bahawa:
"Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak
keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan
parti maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya."
Berdasarkan fasal di dalam Perlembagaan UMNO itu, saman Ainina itu
secara langsung akan terbatal apabila fasal 20.7 tersebut dikuatkuasakan
kerana ia memerlukan 'locus standi' sebagai pihak yang mempunyai
kepentingan iaitu dalam konteks ini keperluannya ialah sebagai ahli
parti.
Mungkin ada di kalangan 'budak baru' dan 'mentah' yang bertanya tentang
siapakah gerangan yang membuat peraturan tersebut di dalam UMNO?
Makluman penting yang perlu diketahui Ainina, ahli UMNO mahupun mereka
yang masih 'kanyaq' tapi tunjuk bagus itu, fasal berkenaan telah digubal
dan diluluskan UMNO ketika Mahathir menjadi Presiden UMNO pada tahun
1987.
Pada tahun 1987, seramai 11 orang ahli UMNO mengemukakan saman ke atas
Presiden dan Setiausaha Agung UMNO kerana didakwa membenarkan beberapa
orang perwakilan yang muflis dan perwakilan-perwakilan haram dari
cawangan-cawangan haram mengundi dalam Pemilihan UMNO tahun tersebut.
Siapa lagi Presiden UMNO pada tahun 1987 yang menyebabkan UMNO
diharamkan secara teknikal dan terpaksa memberikan tampuk kuasa Perdana
Menteri kepada Ling Liong Sik selama berbelas hari dan menubuhkan UMNO
baru ketika itu? Benar, namanya Mahathir.
Ekoran itulah maka Mahathir sendiri telah meluluskan Fasal 20.7 itu sehingga menyebabkan Ainina dipecat.
Dan kini, Mahathir jugalah yang menghantar surat memuji-muji Ainina yang
dihukum peraturan UMNO yang beliau sendiri cipta ketika memegang tampuk
kuasa? Nampaknya peraturan tersebut 'makan tuan', bukan? Jika tidak
'makan tuan', masakan pula Mahathir mahu bersedih atas pemecatan
tersebut, bukan?
Pada pandangan penulis, itu hanyalah merupakan sekelumit 'sumbangan'
Mahathir ketika era beliau mengetuai UMNO secara 'kuku besi'. Selepas
peristiwa 1987 itu, sesiapa saja yang melawan Mahathir maka tahulah
nasibnya...
Siapa yang melawan akan didesak letak jawatan. Jika enggan, individu itu
akan ditekan habis-habisan. Jika bertanding jawatan, akan kalah. Jika
menang pun, akan 'disejuk bekukan'. Dan jika degil dan cuba jatuhkan
beliau juga, maka lihatlah nasib Dato' Seri Anwar Ibrahim. Itulah
nasibnya jika cuba melawan.
Dalam pengalaman penulis menganalisis politik negara sejak zaman beliau
mentadbir negara, beliau memang pantang jika ada di kalangan pemimpin
UMNO atau BN yang cuba membangkangnya. Jika tidak, nahaslah karier
politik mereka.
Pada pandangan penulis, disebabkan corak pentadbiran itulah maka hanya
ada 'yes man' di zaman Mahathir menjadi Presiden dan Perdana Menteri.
Apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, keterbukaan beliau yang
keterlaluan telah menjadi kelemahan sehingga memaksa beliau terpaksa
diturunkan.
Di era Najib pula, mungkin terdorong dengan konsep 'wasatiyah' dalam
dirinya, maka beliau menggunakan keseimbangan kuasa dengan bertindak
tegas pada masa-masa tertentu dan berlembut pada masa-masa tertentu. Ia
menjelaskan konsep adil di dalam Islam yang menuntut umatnya bertindak
kena pada tempatnya.
Namun, dek kerana terlampau mahu menjatuhkan Najib, disulami dengan
emosi dendam kesumat yang menggunung dan menjunjung ego yang tidak
bertepi, Mahathir kini sanggup memalukan diri sendiri dengan menjilat
kahak yang diludahnya dahulu.
Kisah pemecatan Ainina benar-benar mengulangi episod tahun 1987 dan
peraturan yang dicipta Mahathir itu benar-benar memakan diri.
Penulis menyarankan supaya Mahathir lebih berhati-hati dalam tindakannya
selepas ini. Penulis harap beliau cakap serupa bikin dan tidak mudah
lupa lagi dengan sejarah serta keputusan-keputusan yang beliau pernah
lakukan dulu.
'Precedent-precedent' yang pernah dilakukan oleh Mahathir ketika
berjawatan Presiden UMNO itu perlu beliau ingat semula. Jika perlu,
banyakkan membaca Al-Quran supaya dapat ingat semula. Jika lupa juga,
mungkin Mahathir boleh cuba makan 'kismis minda'.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment