Tuesday, September 01, 2015

Che Det, Ops Lalang, Bersih 4 Dan 'Maha-Firaun"...

EDITOR MENULIS...
1 SEPTEMBER 2015
 
Segelintir pentaksub kepada Tun Dr Mahathir Mohamad gegak gempita seronok bukan kepalang apabila mantan Perdana Menteri itu menghadiri himpunan demonstrasi jalanan Bersih 4 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Kononnya 'berfikir diluar kotak' dan demi membela rakyat, negarawan berusia 90 tahun itulah bertindak hero kerana menerima jemputan demonstrasi haram itu. Mereka tidak sedar tentang kemungkinan ada agenda tertentu di sebalik desakan Tun M yang mahu Dato' Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri...

Namun di sebalik keghairahan itu, ada pula pihak tertentu dalam ikatan pembangkang yang tidak suka dengan kehadiran Tun M dalam hiruk pikuk kekecohan yang cuba dicetus puak Bersih 4 tersebut.

Contohnya, seorang pemimpin muda dari Pulau Pinang tidak lupa dengan gelaran 'Maha-Firaun' yang pernah disandang Tun M dan mendakwa kehadiran beliau untuk 'membersihkan diri' dari dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Kita semua ingin menyedarkan mereka yang terpukau dengan tindakan licik politik Tun M itu bahawa sesungguhnya pihak pembangkang tidak pernah lupa pada tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri itu sepanjang 22 tahun beliau memerintah negara.

Mungkin mereka tidak dapat memaafkan Tun M yang pernah memberkas pemimpin-pemimpin politik pembangkang dalam Ops Lalang yang berlaku pada 1987 dahulu. Memori 'kuku besi' autokrasi yang menahan mana-mana suspek yang cuba mengeruhkan kestabilan politik negara ketika itu begitu berbekas di hati mereka.

Dalam Ops Lalang yang diarahkan Tun M itu, ramai pemimpin pembangkang yang meringkuk makan nasi kawah dalam tahanan polis termasuk Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan ramai lagi pemimpin DAP serta PAS yang turut diberkas. Ketika itu PKR masih belum 'lahir'...

Tidak dapat dinafikan, Ops Lalang meninggalkan parut yang masih berdarah hingga sekarang. Itu belum lagi diceritakan tentang tindakan Tun M terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim sejurus selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan semua jawatan yang disandang sama ada di dalam kerajaan mahupun di dalam UMNO sendiri.

'Dosa-dosa' itulah yang masih berbekas di dalam minda pihak pembangkang dan tidak hairanlah jika mereka terlintas untuk menggelar beliau dengan gelaran 'Maha-Firaun' atau 'Maha-Zalim' sehingga kini, bukan?

Tindakan yang disifatkan sebagai 'diktatorship' oleh pihak pembangkang itu adalah amat berbeza dengan pendekatan yang diamalkan oleh Najib di mana beliau dilihat lebih terbuka dan berani dalam menghadapi kritikan mahupun tindakan yang menghuru-harakan kestabilan politik negara.

Kita semua yakin, sekiranya Tun M masih lagi menjadi Perdana Menteri, beliau sendiri akan buang Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato' Seri Shafie Apdal dan berkemungkinan anaknya sendiri, Dato' Seri Mukhriz akan menjadi mangsa sekiranya berterusan menghentam beliau secara terbuka.

Apatah lagi barisan pembangkang, bukan? Jika Tun M masih berjawatan Perdana Menteri, jangan haraplah Bersih 1, 2, 3 dan 4 akan mengotorkan Kuala Lumpur. Belum sempat berhimpun, mereka mungkin sudah merengkok dalam penjara bersama Anwar di Sungai Buloh.

Itu menandakan bahawa di sebalik perubahan budaya dunia yang bagaikan tanpa sempadan dan dipenuhi fitnah ini, Najib tidak mengamalkan kaedah 'kuku besi', Ops Lalang atau konsep diktatorship dalam pentadbirannya.

Malah berdepan dengan ancaman tohmahan fitnah pihak pembangkang menerusi medium laman sosial yang viral, Najib masih lagi mengamalkan dasar keterbukaan dan menghormati hak demokrasi di Malaysia.

Kita harus sedar bahawa bekas Perdana Menteri itu bahawa dunia kini telah berubah. Di zamannya dulu lain dan kini bukan lagi zaman beliau. Zaman kegemilangannya telah berlalu dan kini adalah zaman Najib menunjukkan kebolehannya yang mungkin lebih hebat dari Tun M sendiri.

Soalnya, apakah Tun M takut sangat jika nama Najib lebih disanjung berbanding namanya sehingga tergamak memburuk-burukan imej Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu di mata rakyat? Nanti jangan lupa jawab dalam kubur..

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjlWe7ba-jx7vcd7o0B3Pxen2h5lhPb_iZqNiwAWY43Nj-YfEAFn3c1egMaERmX99Hnz-9C0A30vdm0Tz0sXOll-1F431PtLBEZbo0v9xVZ1u5sD1SfjTv-1L8exhDQCs_SBI71qThrLhTi/s400/Syamsul.JPG
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment