Sunday, September 06, 2015
Hatta Dakwa Bai'ah Terbatal Setelah Beri Makan 10 Anak Yatim
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menyifatkan bai'ah cerai
talak tiga yang pernah dilafazkan ketika bersama PAS sebelum ini
terbatal dengan sendirinya kerana telah membayar kafarah iaitu memberi
makan 10 orang anak yatim.
Justeru katanya, beliau akan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama
isteri meskipun pelbagai pihak termasuk Ketua Hakim Syarie Kelantan
serta Menteri Besar mengesahkan perkahwinannya gugur talak tiga kerana
melanggar bai’ah tersebut.
Katanya, sebelum membuat keputusan keluar daripada PAS, beliau telah
merujuk mengenai soal bai'ah itu dengan beberapa ulama di dalam serta
luar negara selain mendapat pandangan daripada pelbagai pihak lain.
Pada masa sama, beliau berkata, sesetengah ulama berpendapat, dalam
Islam sebenarnya, tidak ada bai’ah sehingga menuntut bercerai talak
tiga.
“Perkara itu (bai'ah talak tiga) telah dirujuk dengan beberapa ulama
termasuk ulama Mesir, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Perlis, Dr. Mohd
Asri Zainul Abidin dan Penasihat Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja),
Ahmad Awang.
“Saya dinasihatkan dan mendapat pandangan daripada Ahmad dan beberapa
lagi mengenainya, tidak menjadi masalah, cukup sekadar kita bayar
kafarah beri 10 orang (anak yatim) makan atau puasa tiga hari, itu
memang sudah tercatat, ustaz-ustaz, ulama-ulama tahu perkara ini.
“Saya mempunyai cukup alasan dan panduan untuk tidak mengambil pandangan
mengenai bai'ah jatuh cerai talak tiga walaupun datang daripada seorang
Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar ataupun Mufti Kelantan
sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Parti Pekerja di
Kampung Belimbing Tanah Merah Kelantan.
Pada Rabu, Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad
mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta dengan isterinya bercerai talak tiga
kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah PAS negeri
itu.
Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat PAS di negeri ini yang
mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara
automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Sementara itu menyentuh perkara sama ketika berucap sebelum itu, Mohd
Hatta berkata, isu bai’ah cerai talak tiga sengaja ditimbulkan PAS
negeri ini bagi menakut-nakutkan wakil rakyat parti itu supaya tidak
memilih wadah perjuangan lain.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment