Sunday, September 06, 2015
Aib Bolasepak Malaysia... UAE 'Sedekah' 10 Kosong... Berat Nanang Ni
Hari ini hari paling suram dalam sejarah bolasepak Malaysia sejak
merdeka selepas dibelasah 10 berbalas 0 oleh pasukan Emiriah Arab
Bersatu (UAE) ketika aksi ketiga pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di
Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, Khamis.
Untuk rekod, ini merupakan kekalahan terbesar pasukan negara dalam
mana-mana perlawanan antarabangsa.Sebelum ini, kekalahan terbesar yang
dialami oleh pasukan negara ialah ketika menentang pasukan New Zealand
pada tahun 1967 yang berakhir dengan keputusan 2-8.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia yang berada pada ranking ke-168
dunia, kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas kalah 6-0
kepada Palestin dan seri 1-1 menentang Timor Leste pada dua aksi
terdahulu.
UAE nyata mendominasi perlawanan pada babak pertama menerusi ledakan tujuh gol.
Pesta gol skuad Al-Abyad bermula seawal minit ke-15 menerusi Mohanad
Salem sebelum Ali Makhbout menggandakan kedudukan, selang enam minit
kemudian selepas menyambar tangkapan kurang kemas penjaga gol negara,
Khairul Fahmi Che Mat sebelum tuan rumah menambah dua lagi gol menerusi
Ahmed Khalil (minit ke-23) dan dua minit kemudian oleh Habib Al-Fardan.
Kemasukan penjaga gol Perak, Zamir Selamat selepas itu nyata gagal
membendung pintu gol negara daripada terus dibolosi menerusi sentuhan
penyudah Ahmed Khalil pada minit ke-29, Ali Makhbout (m33) dan Mohamed
Gharib (m39).
Kedudukan 7-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, skuad Harimau Malaya cuba melakukan
serangan balas sekali sekala namun masih gagal menembusi kekebalan
benteng pertahanan UAE yang diketuai Mohanad Salem.
Ahmed Khalil mencipta hatrik selepas menjaringkan gol ketiga pada minit
ke-70 untuk menewaskan penjaga gol gantian kedua Malaysia, Mohd Khairul
Azhan Mohd Khalid.
Ali Makhbout turut mencipta hatrik pada minit ke-75 menerusi percubaan
menarik dari luar kotak penalti sebelum Ahmed Khalil mengesahkan
kemenangan besar UAE menerusi gol ke-10, selang dua minit kemudian dan
keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawan.
Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat kumpulan A di Stadium Shah Alam pada 8 September 2015 ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment