Sunday, September 06, 2015
Ketua Audit Negara Sedia Audit Penubuhan DEIG
GEORGE TOWN : Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata beliau
tidak mempunyai masalah untuk menjalankan pengauditan terhadap penubuhan
Darul Ehsan Investment Group (DEIG), jika ia berada di bawah bidang
kuasanya.
Ambrin berkata buat masa ini beliau sedang menyemak dan meneliti butiran berhubung penubuhan syarikat terbabit.
"Yang (DEIG) ini memang saya sedang ikuti perkembangan sebab saya kena
semak balik kuasa-kuasa yang diberikan kepada ketua audit negara di
negeri-negeri.
"Memang macam di negeri Selangor, kuasa telah diberikan kepada saya
untuk buat pengauditan kepada akaun kerajaan negeri Selangor dan juga
badan-badan berkanun di negeri Selangor.
"Kita juga buat pengauditan pada anak-anak syarikat," katanya kepada
pemberita selepas Majlis Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang
dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di sini
Sabtu.
Dalam upacara sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri
Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas itu menyaksikan 162 orang menerima
pingat dan darjah kebesaran masing-masing termasuk Ambrin.
Beliau menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri yang membawa gelaran
Datuk Seri. Lima lagi turut dianugerahkan darjah kebesaran yang sama.
Sebanyak 1,275 orang telah disenaraikan menerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri.
Ditanya tempoh yang akan diambil pihaknya menjalankan proses audit,
Ambrin berkata beliau sedang menyemak kedudukan dari segi undang-undang
yang dibenarkan di bawah Akta Audit dan menurut beliau ada proses yang
perlu dipatuhi.
"Misalannya kalau pengauditan syarikat biasanya kita kena gazet dulu dan
mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong (mengenai) mana-mana
syarikat kerajaan yang nak diaudit oleh ketua audit negara. Kita dalam
proses untuk mengenal pasti, kita ikut prosedur," katanya.
DEIG merupakan entiti yang ditubuhkan pada Disember lalu di bawah
Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi menguruskan sektor pelaburan, aset
dan perniagaan anak-anak syarikat kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun, beberapa anggota Dewan Undangan Negeri Selangor termasuk
bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, melahirkan kebimbangan
mereka terhadap ketelusan penubuhan DEIG yang dikatakan akan mengambil
alih peranan MBI.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment