Sunday, September 06, 2015
Khairy Mungkin Guna Kuasa Menteri Gantung FAM
KUALA TERENGGANU : Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin akan
mengadakan pertemuan segera dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) berhubung prestasi buruk Harimau Malaya yang tewas 10-0
kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), tempohari.
Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk
mendapatkan laporan sebenar kekalahan pada aksi kelayakan Piala Asia
2019 itu.
Sambil menyifatkan kekalahan itu sebagai sejarah terburuk dalam sukan
bola sepak negara, Khairy juga tidak menolak sekiranya terpaksa
menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk menggantung FAM jika masalah
yang membelenggu skuad itu tidak dapat diatasi.
"Saya akan panggil FAM dalam masa terdekat, saya minta mereka berikan
laporan apa yang sebenarnya berlaku dalam FAM sehingga kita lihat hari
ini prestasi dan mutu sukan bola sepak kita merudum ke tahap paling
rendah dalam sejarah.
"Kita ada banyak langkah yang boleh diambil. Langkah drastik boleh
diambil (gantung FAM). Walaupun saya tidak mahu, tapi di bawah Akta
Pembangunan Sukan, ada kuasa pada Menteri untuk mengambil langkah
drastik seperti yang berlaku pada Persatuan Bola Sepak Indonesia,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan FitMalaysia Terengganu di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Dollah Salleh selaku jurulatih
pasukan bola sepak kebangsaan, Khairy berkata, keputusan dan tindakan
jurulatih berusia 51 tahun itu adalah wajar, namun ia masih tidak
mengubah dan menyelesaikan masalah dalam skuad Harimau Malaya ketika
ini.
"Saya ucapkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatan sebagai
jurulatih pasukan kebangsaan. Kekalahan 10-0 itu antara detik paling
memalukan kita dalam sejarah bola sepak negara dan beliau sudah buat
keputusan tepat dengan letakkan jawatan.
"Tapi, bagi saya peletakan jawatan Dollah tidak akan selesaikan masalah
yang dihadapi oleh sukan bola sepak negara kita," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment