Thursday, September 17, 2015
Mahasiswa Perlu Rasional Suarakan Pandangan – Naib Canselor UNIMAP
PAUH PUTRA (ARAU) : Mahasiswa perlu berfikir dan menyuarakan
pandangan secara rasional, berhemah dan bertanggungjawab supaya menjadi
ikutan generasi pelapis.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr
Kamarudin Hussin berkata mahasiswa tidak dihalang menyuarakan pendapat
namun pandangan mereka perlu dibuat melalui kaedah yang betul tanpa
membelakangkan undang-undang.
Tindakan tidak bertanggungjawab mahasiswa seperti menyertai
perhimpunan haram hanya memberi kesan buruk terhadap masa depan mereka
yang sewajarnya membantu membangunkan negara, katanya.
Beliau berucap pada perasmian Festival Konvokesyen (FestKon) ke-10
dan sambutan Hari Malaysia peringkat UniMAP yang disempurnakan Raja Muda
Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail di Dataran Boulevard, di sini malam tadi.
Kamarudin berkata FestKon bermula semalam hingga 21 Sept ini adalah
penghargaan universiti bagi meraikan kejayaan graduannya UniMAP yang
bakal menerima ijazah masing-masing mulai Sabtu ini.
Sempena konvokesyen itu, UniMAP dengan kerjasama Aeronautics
Technology Sdn Bhd menganjurkan pameran satelit angkasa untuk
mendedahkan masyarakat terutama mahasiswa UniMAP dan pelajar sekolah
ilmu kejuruteraan satelit.
Pameran selama sebulan itu berlangsung di Perpustakaan Tuanku Faizuddin Putra mulai semalam.
Katanya sekretariat FestKon buat julung kalinya menganjurkan program
‘Petrosains Game’ dengan kerjasama Petrosains Sdn Bhd Kuala Lumpur
supaya masyarakat yang tidak berpeluang mengunjungi Petrosains merasai
pengalaman berada di Petrosains KLCC.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment