Thursday, September 17, 2015

Tubuh Tribunal Tanah Untuk Kawal Selia Jual Beli Tanah Rizab Melayu – Abu Zahar Ujang

KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu menubuhkan Tribunal Tanah bagi mengawal selia urusan penjualan dan pembelian tanah rakyat khasnya membabitkan tanah rizab Melayu, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
http://img.astroawani.com/2014-12/71417679870_295x200.jpg
“Tanah rizab Melayu ada termaktub dalam Perlembagaan. Setiap negeri patut ada tapi kini hanya tinggal beberapa peratus sahaja. Mana pergi yang lain apa sudah jadi?

“Kalau kerajaan boleh tubuh Mahkamah Pembinaan dan Tribunal Khas untuk jaga hal ehwal pembinaan dan jual beli rumah, kenapa tidak tubuhkan Tribunal Tanah?,” katanya. 

Cadangan itu dilontarkan Abu Zahar ketika berucap pada Wacana Fikrah Ummah ke-7 “Peranan Institusi Parlimen Dalam Menjaga Kepentingan Melayu Menerusi Perlembagaan” di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan.

Abu Zahar berkata tribunal itu jika ditubuhkan diyakini mampu mempertahan dan mengawal penjualan tanah milik orang Melayu yang mungkin mudah ‘dijolok’ dengan tawaran keuntungan untuk menjual tanah mereka. 

Abu Zahar berkata Tribunal Tanah itu juga dilihat mampu mengelak berlakunya kes penipuan jual beli tanah rizab Melayu yang seolah-olah ‘lenyap’ tanpa disedari pemilik tanah sehinggalah terbinanya bangunan tinggi atau kawasan perumahan.

Memberi contoh kes membabitkan penipuan jual beli tanah rizab Melayu menggunakan geran palsu, Abu Zahar menekankan betapa mudah tanah berkenaan terlepas daripada pegangan orang Melayu. 

“Ada individu kononnya ketua kampung, palsukan geran asal tanah tanpa pengetahuan pemilik tanah. Tanah kemudian dijual kepada pemaju dan projek pembinaan diluluskan Pejabat Tanah. Semudah itu tanah Melayu dijual,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Zahar berkata sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pendekatan baru berhubung permohonan kerakyatan daripada warga asing agar proses kelulusan diperketatkan.

“Ketika ini, pemohon perlu melalui kriteria seperti mengamalkan Bahasa Malaysia dan adat resam contohnya sebelum diluluskan kerakyatan. Kajian perlu dilakukan untuk ketatkan permohonan. 

Bukan bagi dengan begitu senang dan mudah kepada warga asing.

Katanya perkara ini memerlukan iltizam politik dan pergorbanan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan masyarakat untuk menjayakannya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment