Sunday, September 06, 2015
Nik Zawawi Tempelak Hanipa : Apa Kaitan Baiah Dengan Hudud?
SHAH ALAM : Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad
Zawawi Nik Salleh 'hairan' dengan tindakan pemimpin Parti Amanah Negara
(Amanah), Hanipa Maidin yang mengaitkan kontroversi baiah dengan
pelaksanaan hudud di Kelantan.
"Yang pertamanya, beliau bukan seorang ahli agama dan tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang syariah Islam.
"Keduanya, apakah kaitannya baiah dengan pelaksanaan hudud? Saya tidak
faham apakah maksud yang ingin disampaikannya," katanya kepada
media, hari ini.
Terdahulu Hanipa menyifatkan desakan PAS terhadap bekas
pemimpin-pemimpin parti itu yang melanggar baiah sehingga jatuh talak
tiga terhadap isteri masing-masing mencerminkan petanda tidak baik
terhadap agenda PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.
Ahli Parlimen Sepang itu menyelar sikap PAS itu kerana menyebabkan ramai
pihak berpandangan PAS lebih gemar menghukum berbanding menegakkan
keadilan.
Menegaskan kontroversi baiah tersasar jauh dari isu hudud yang cuba
diketengahkan Amanah, Nik Zawawi kemudiannya menggesa ahli-ahli parti
politik baru berkenaan melihat kembali niat mereka ketika melafazkan
taat setia itu.
"Mereka kena teliti dengan baik. Jawab dengan jujur dan ikhlas kerana
Allah SWT mengetahui apakah yang sebenarnya di dalam baiah mereka. Saya
tahu di dalam hati kecil mereka terasa bahawa baiah mereka adalah satu
perkara besar. Namun kerana sikap ego menyebabkan mereka mencari seribu
satu alasan untuk membatalkan baiah," tegasnya.
Nik Zawawi dalam pada itu meluahkan rasa kesalnya terhadap reaksinya
Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu yang meminta ahli-ahlinya berpegang
kepada pandangan ulama yang ringan.
"Semua yang bercakap ini bukan orang agama. Mana ada satu mazhab di
dalam Ahli Sunnah Jamaah yang mengatakan baiah longgar dan boleh
dibatalkan. Saya rasa beliau terkeliru dengan al-yamin (sumpah).
"Tidak ada ulama muktabar membenarkan langgar baiah," tegasnya.
Mohamad sebelum ini meminta ahli-ahli Amanah yang terkesan dengan sumpah
baiah tidak hanya berpegang kepada pandangan dan mazhab tertentu
sahaja, sebaliknya perlu merujuk pandangan banyak pihak, seperti ulama
dunia Dr Yusof Al-Qaradhawi, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul
Abidin dan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor.
“Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini agar
meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah.
“Dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling
ringan di antara pandangan-pandangan ulama yang boleh diterima pakai,”
demikian memetik kenyataan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat
Sabu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment