Friday, September 18, 2015

Noh Kesal Kerajaan Selangor Kenakan TOL RM100,000 Untuk Projek 'Park N Ride'

SHAH ALAM : Tindakan kerajaan negeri Selangor mengenakan bayaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) RM100,000 setahun ke atas tapak projek pembinaan tempat letak kereta (Park n Ride) di tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Petaling Jaya, sangat dikesali.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan negeri sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana turut membantu dalam menyediakan perkhidmatan awam terbaik di Selangor.

"Demi kepentingan awam dan status tanah yang merupakan rentas talian elektrik serta tidak pun dimajukan dengan aktiviti ekonomi, sewajarnya nilai TOL direndahkan lagi oleh kerajaan negeri.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan mengurangkan kesesakan dan wajar kerajaan negeri beri sokongan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini Khamis petang.

Projek itu melibatkan kos RM8 juta bagi membina 1,148 lot letak kereta dan ia dijangka siap Januari tahun depan dengan 551 lot di stesen LRT Taman Bahagia, 347 lot di stesen LRT Taman Paramount dan 250 lot di stesen LRT Taman Jaya.

Menurut Noh, pengurangan TOL tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada kerajaan Persekutuan kerana tanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara tempat letak kereta itu apabila siap kelak akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, mengenai majlis tersebut, Noh berkata 70 orang menerima sumbangan dalam bentuk simpanan Amanah Saham Berhad (ASB) berjumlah RM350,000 dan 60 orang menerima bantuan peralatan berjumlah RM10,000 setiap seorang.

Seramai 30 orang Asli menerima sumbangan RM600 setiap seorang yang merupakan wang hasil ternakan lembu yang diuruskan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment