Sunday, September 06, 2015
PAS Masih “Bermuka Tembok”, Mahu Bersama DAP, Amanah Dan PKR?
EDITOR MENULIS...
6 SEPTEMBER 2015
Ahli Jawatankuasa Penaja Amanah, Hanipa
Maidin, yang dilihat “tidak amanah” oleh ahli dan penyokong PAS ketika
berada di dalam PAS baru-baru ini telah meluahkan rasa tidak bersetuju
sekiranya bekas partinya itu dibawa masuk ke dalam gabungan gabungan
parti pembangkang yang baru.
Kata Hanipa yang mewakili Amanah, PAS
seharusnya bergerak secara solo dan tidak diterima untuk menyertai
Pakatan Haram baru yang dijangka bakal ditubuhkan selepas parti barunya
itu ditubuhkan secara rasmi pada 16 September ini.
Dalam kenyataannya, Hanipa turut memohon
maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini
mengeluarkan kenyataan “play safe” dari penjara Sungai Buloh tentang
kononnya turut menerima PAS dalam pakatan baru itu nanti.
Terbaru, Mat Sabu selaku Pengerusi Amanah
menyatakan tentang rasa tidak sabarnya menanti tarikh 16 September
untuk membentuk Pakatan Haram baru bersama DAP dan PKR, di mana dia
menjelaskan tentang perbincangan tidak rasmi tentang gabungan terbaru
pembangkang itu.
Sementara itu, DAP pula dilihat senada
dengan Amanah, begitu tegar berpatah arang dengan PAS yang sebelum ini
pernah menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan gelaran
“pengkhianat bersiri”, “tidak bermaruah” dan pelbagai lagi hinaan yang
memalukan.
Dalam erti kata mudah, Amanah dan DAP
tidak mahu PAS berada di dalam Pakatan Haram yang bakal di bentuk semula
nanti. Manakala PKR pula berpeluang untuk menolak PAS dengan alasan dua
parti di dalam gabungan itu menolak penyertaan PAS di dalam pakatan
tersebut.
Soalnya, apakah pendirian PAS dalam hal
ini? Apakah parti itu akan kembali dengan konsep “hidung tak mancung,
pipi tersorong-sorong”, tetap “bermuka tembok” mahu terus bersama DAP,
Amanah dan PKR dalam gabungan baru itu?
Sebelum ini, PAS sememangnya sanggup
“bermuka tebal”. Walaupun teruk “dikeldaikan” dan membiarkan diri
menjadi “tunggangan” DAP dan PKR sejak tahun 2008, PAS tetap setia
bersama Pakatan Haram.
PAS juga sebelum ini sanggup diperlaku
seperti parti kelas ketiga, dibuli dan diperlakukan sesesuka hati walau
menghiris hati ramai pemimpin, ahli dan para penyokong parti tersebut.
Pengorbanan dan jasa PAS di dalam Pakatan Haram lama benar-benar tidak
dihargai oleh DAP dan PKR.
Hasilnya dari sikap “muka tembok” PAS itu
telah menyebabkan parti itu terbelah di dalamnya. Doktrinisasi
Anwarinas dan DAP dilihat berjaya mengubah pendirian sebahagian pemimpin
serta ahlinya untuk memegang konsep baru, “matlamat menghalalkan cara”.
Biar menyimpang dari akhlak dan maqasid syariah, kerana politik dan
kuasa, golongan progresif itu rela turutkan…
Hari ini PAS dilihat bagaikan “melukut di
tepi gantang”. Meskipun “dipijak” maruah mereka dalam demonstrasi
jalanan Bersih 4 baru-baru ini, mereka seolah masih lagi cuba “bermuka
tembok” mengharapkan jemputan untuk menyertai Pakatan Haram baru.
Bila agaknya PAS hendak sedar diri?
Terbelah dua dan hampir hancur PAS dikerjakan oleh puak-puak itu, PAS
masih lagi bersabar dan bersikap bacul?
Pada pandangan saya, PAS harus lebih
berani menongkah arus DAP, Amanah dan PKR.
Golongan Ulama yang mengemudi
PAS seharusnya berwatak seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar
Al-Khattab RadhiAllah Anhuma dalam menghadapi situasi “khawarij” dan
“musyrikin” seperti itu.
Mereka perlu bertegas dengan pendirian
parti dan tidak sewenang-wenangnya merendahkan lagi maruah yang dipijak
dengan sikap “tunggu dan lihat”. Sebaliknya mereka harus bertindak
menyatakan pendirian tegas dan adil, sejajar dengan konsep siyasah Islam
yang sebenar.
Menyentuh isu bai’ah talak tiga atau hala
tuju PAS yang telah dibersihkan dari ancaman “syaitan dalam jemaah’,
Abdul Hadi dan kepimpinan parti itu harus berani mengeluarkan kenyataaan
yang lebih berani dan melegakan para penyokongnya di peringkat akar
umbi.
Saya bukanlah hendak mengajar PAS. Namun
saya melihat PAS begitu goyah setelah agenda pembersihan berjalan
lancar. Setelah dibersihkan dari ancaman dalaman, PAS harus dilihat
vokal dan teguh dengan perjuangan asal, bukan kekal bersikap seperti
sebelum dibersihkan, bukan?
Justeru itu, saya menggesa agar PAS
bangkit sebagai sebuah parti pembangkang yang “sihat” dan tidak lagi
“sakit dilanda virus jahat” seperti dulu. Buanglah semangat politik
kebencian dan kembalilah kepada budaya politik yang dianjurkan Islam.
Itu yang perlu PAS buat.
Pada DAP, Amanah dan PKR, pada pandangan
saya, biarlah ketiga-tiga parti pembangkang itu dengan “labu-labunya”.
PAS tidak harus menjerumuskan diri di dalam “tong najis” dan menyamak
diri seperti sebelum ini. Harap PAS pertimbangkan saranan saya ini. Fikir-fikirkanlah...
Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment