Sunday, September 06, 2015
Ikhlaskah Tindak Tanduk TI dan Amnesty?
Tanpa maklumat jelas berkenaan hal ehwal dalaman
Malaysia, beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing
mengambil peluang berucap di sebuah persidangan antarabangsa di
Putrajaya berakhir Jumaat lalu untuk memperkecil-kecilkan negara kita.
Walaupun terdiri daripada bijak pandai, tindakan mereka adalah
sebaliknya apabila membuta tuli mengkritik negara dalam mengendalikan
soal rasuah dan menguruskan kebebasan hak asasi.
Keberkesanan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
yang antaranya menyaksikan peningkatan ketara dalam kadar sabitan
daripada hanya 54 peratus pada 2009 kepada 78 peratus pada tahun lalu,
diketepikan.
Lagak mereka bagaikan mahu jalan cerita filem box office Tamil,
Sivaji The Boss berlaku di negara ini tetapi alam realiti bukan semudah
itu. Tindakan undang-undang bukan boleh hanya melalui persepsi kerana
yang menyiasat dan disiasat juga ada hak masing-masing.
Ini prinsip
universal.
Kecualilah dalam kes Amerika Syarikat (AS) yang sesuka hati menakluk
Iraq dan Afghanistan hanya berdasarkan apa yang mereka percaya.
Malangnya pemimpin-pemimpin NGO tersebut yang disokong golongan
seangkatan mereka di sini bercakap dengan tidak berlandaskan fakta
sekali gus menampakkan kecetekan pengetahuan mereka terhadap apa yang
berlaku di Malaysia.
Satu contoh bagaimana Setiausaha Agung Amnesty International, Sahil
Shetty dengan semberono bercakap terdapat akhbar dan portal ditutup
berikutan perhimpunan haram Bersih 4.
Walaupun terlibat dalam pelbagai organisasi antarabangsa, namun
beliau juga tidak terlepas daripada membuat dakwaan tidak berasas
setaraf pelayar Facebook yang sekadar mencari tumpuan.
Apatah lagi beliau mengaitkan ketakutan kerajaan kerana bimbang
berlaku Arab Spring di Malaysia. Hakikatnya apakah Bersih 4 mendapat
sokongan semua lapisan rakyat seperti mana yang berlaku di Mesir dan
Tunisia.
Penyokong Bersih 1, 2 dan 3 sebelum ini pun menjauhkan diri dengan
siri perhimpunan terbaharu ini, maka terjadilah acara yang menyaksikan
dominasi satu kaum dan satu parti.
Sedangkan negara ini terdiri daripada
pelbagai kaum dengan majoritinya adalah orang Melayu dan Islam yang
menjadi teras politik.
Lagi pula soal kebebasan bersuara dan berhimpun terjamin dalam
Perlembagaan Persekutuan cuma ia harus dilakukan mengikut peraturan.
Dalam hal Bersih 4, pihak berkuasa memberi jaminan kelulusan akan
diberikan jika dilakukan di stadium waima stadium terbesar di negara ini
iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Begitu juga dengan pemimpin Transparency International (TI).
Bercakap macam pihak berkuasa khususnya SPRM berpeluk tubuh dalam isu
membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tindakan pemimpin TI termasuk Pengerusinya, Jose Ugaz memberi tekanan
kepada negara tuan rumah ketika majlis perasmian sememangnya nampak
canggung kerana dari satu sisi, seolah-olah mahu mengajar sedangkan
siasatan dan tindakan dalam isu 1MDB belum berakhir.
Melindungi
Malah membangkitkan nama beberapa negara yang dibayangi pelbagai
masalah agak menjengkelkan sedangkan Malaysia berada pada landasan tepat
menuju negara maju yang mana pencapaian itu tidak akan mampu diraih
jika negara dilingkari rasuah dan penyelewengan.
Salah satu contoh skandal yang dibangkitkan adalah berhubung
Petrobras. Namun jika dilihat kepada Petronas, konglomerat itu diakui
sebagai syarikat petroleum bertaraf dunia dan menjadi contoh kepada
pelbagai negara kerana diurus dengan penuh integriti.
Begitu juga transformasi kepada SPRM yang menjadi model kepada banyak
negara membangun lain dan ramai pegawai mereka dihantar menjalani
latihan di negara ini.
Peliknya, apa yang berlaku di negara-negara penceramah dalam
Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 itu terutama TI dan
Amnesty International sebenarnya yang patut dibangkitkan dengan lebih
lantang seperti negara asal pemimpin TI dan Amnesty International.
Lagipun IACC adalah persidangan antarabangsa, bukan persidangan
membincangkan isu di negara ini semata-mata.
Maka, tak perlulah hendak tunjuk hidung tinggi, malah Malaysia jauh
lebih ikhlas membantu Dunia Ketiga mengukuhkan integriti urus tadbir
termasuk dalam hal berkaitan pengubahan wang haram. Sedangkan sesetengah
negara maju sendiri seperti tidak mahu terlibat kerana melindungi
kepentingan mereka. Namun hal-hal seperti ini jarang dibangkitkan TI.
Yang mereka lebih bersorak adalah bila melihat pemimpin negara sasaran
itu tumbang.
Justeru, timbul tanda tanya bahawa perjuangan mereka menentang rasuah
sebenarnya tidak ikhlas tetapi didorong motif untuk mencaturkan
politik. Kalau di negara ini memang berlaku kerana sesetengah pihak
hanya lantang apabila melibatkan parti pemerintah tetapi senyap membisu
jika penyelewengan melibatkan sebelah satu pihak lagi.
Pemilihan PKR, Pas dan DAP dibayangi pelbagai dakwaan, pemerintahan
mereka juga tidak terkecuali terpalit dengan skandal. Namun ada yang
menutup mata dan marah pula jika tindakan diambil. Ini memperlihatkan
perjuangan mereka menentang rasuah mempunyai nawaitu lain sekali gus
merencatkan usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan integriti di negara
ini.
Jadi, perjuangan membanteras rasuah memerlukan mereka yang
benar-benar komited tanpa memilih warna politik. Biar pun banyak yang
telah dilakukan di Malaysia sejak merdeka daripada penubuhan Badan
Pencegah Rasuah, Biro Siasatan Negara hinggalah SPRM, kita memang masih
belum sempurna tetapi bezanya, kita sentiasa mahukan penambahbaikan dan
kita melakukannya.
Oleh : Herman Hamid, Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment