Sunday, September 06, 2015
Kerajaan Hapus Caj 10 Peratus Selenggara PPR
Kerajaan memansuhkan polisi yang mewajibkan
penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara membayar caj 10
peratus bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan yang rosak
khususnya lif.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk
Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil
kira faktor kos penyelenggaraan tinggi yang akhirnya akan membebankan
penduduk di kawasan berkenaan.
Sebelum ini jelasnya, kerajaan menampung 90 peratus kos penyelenggaraan itu manakala 10 peratus lagi ditanggung oleh penduduk.
“Saya melihat dasar ini sudah tidak relevan kerana kos
penyelenggaraan amat tinggi yang di luar kemampuan sehingga membebankan
mereka, maka kita putuskan untuk menghapuskannya dan akan menanggung
sepenuhnya kos menyelenggara kemudahan terutamanya lif.
“Tetapi dalam hal ini, kita memberi keutamaan kepada aspek
keselamatan seperti lif, pendawaian elektrik dan penghadang,” katanya
dalam sidang akhbar selepas melawat PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju hari
ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan
Pembangunan Komuniti, Wan Muhammad Ghazali Nor dan Pengerusi Persatuan
Penduduk PPR Wangsa Sari, Mustafa Arbain.
Jelas Abdul Rahman, inisiatif itu selari dengan hasrat Perdana
Menteri yang mahu nasib penduduk rumah kos rendah sentiasa terbela,
dibantu dan diberi keutamaan.
“Kita (kementerian) mempunyai peruntukan RM140 juta untuk
dibelanjakan bagi tujuan berkenaan, malah pihak seperti Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai peruntukan ssendiri bagi tujuan itu
bagi membantu penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, keputusan itu bagaimanapun
tidak melibatkan kerja menceriakan dan mencantikkan kawasan PPR seperti
membuat landskap taman, mengecat semula mahupun membina gelanggang
futsal.
“Keutamaan kita adalah aspek keselamatan, kita tidak mahu lagi
penduduk terpaksa panjat tangga sehingga tingkat 17 gara-gara lif rosak,
apa akan jadi kepada warga emas dan orang yang sakit.
“Kita juga tidak mahu berlakunya kebakaran berpunca daripada masalah
pendawaian dan juga penghadang di PPR ini yang pecah sehingga mengancam
nyawa penduduk,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment