
Sunday, September 06, 2015
Bekas Presiden Perlu Sedar Yang Beliau Bukan Lagi Presiden Hari Ini…
EDITOR MENULIS...
6 SEPTEMBER 2015
Agak menarik mendengar dan membaca komen-komen dari pelbagai pihak
mengenai dana sumbangan politik yang diterima Presiden UMNO, Dato’ Seri
Najib Tun Razak yang disahkan telah diterima dari negara di Timur
Tengah.
Dana sumbangan politik yang berjumlah RM2.6 bilion itu menjadi
perdebatan hangat oleh ramai pihak, sama ada ahli UMNO mahupun bukan
ahli UMNO. Bagi pembangkang, sudah tentulah kita dengar komen negatif
sebab RM2.6 bilion itu tidak masuk ke akaun mereka, bukan?
Saya pelik pula apabila ada pihak yang sedap-sedap sebut Najib
telah merompak wang rakyat berjumlah RM2.6 bilion. Terang-terangan dan
jelas dikatakan bahawa wang RM2.6 bilion itu untuk UMNO, apa kena
mengenanya dengan yang bukan ahli UMNO?
Pada pandangan saya, memang RM2.6 bilion itu bukan wang rakyat
pun. Apa yang hendak dipertikaikan? Cuma pada saya, Najib mungkin
pernah menyalurkan wang itu secara tidak langsung kepada rakyat sejak
diterima pada tahun 2013 dulu.
Sebagai contoh, sekiranya berlaku bencana di mana-mana kawasan di
negara kita, UMNO adalah antara yang paling awal tiba membantu mangsa
dan melakukan operasi ‘save and rescue’. Logiknya, apakah kita fikir
Ketua Bahagian di kawasan tersebut banyak sangat duit untuk membiayai
bantuan kilat untuk mangsa? Mana lagi datangnya duit tersebut jika bukan
dari UMNO Pusat, bukan?
Sebagai seorang Presiden, individu berkenaan perlu pandai cari dana
politik. Syaratnya ialah jangan curi duit orang atau rakyat, dan ia
perlulah memenuhi hukum syarak, khususnya UMNO dan PAS yang majoritinya
bangsa Melayu beragama Islam. Tidak kisahlah dari dalam atau luar
negara, memang parti politik perlukan dana untuk bergerak. Itu realiti.
Di dalam UMNO pula, ada ahli parti yang mempertikai tentang mengapa
wang tersebut disalurkan kepada akaun peribadi Najib. Katanya cara itu
tidak telus dan memungkinkan wang itu ‘dicuri’ Najib. Malah isteri
beliau, Datin Seri Rosmah Mansor turut menjadi mangsa dituduh ‘mencuri’
wang tersebut.
Pada pandangan saya, tiada sebarang masalah dengan memasukkan wang
tersebut ke akaun peribadi Najib. Jika penulis ahli UMNO, lantaklah
hendak dimasukkan ke akaun mana sekalipun asalkan ia menepati kehendak
undang-undang negara dan syarak Islam.
Selaku ahli parti, saya yakin dengan sikap amanah Presiden UMNO
dan tidak perlu pening kepala memikirkan tentang ke akaun mana wang itu
disalurkan. Apa yang pentingnya, setiap kali mana-mana cawangan,
bahagian atau UMNO negeri perlukan dana, UMNO Pusat mampu memberikan
dana yang diperlukan itu. Tanpa dana, bagaimana parti itu mahu bergerak,
bukan?
Di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO dahulu,
dikatakan bahawa berlaku ketirisan yang sangat menjengkelkan berhubung
cara dana politik disalurkan.
Khabarnya, banyak yang ‘tiris di tengah
jalan’. Ia adalah berdasarkan majoriti rakan saya yang berpuluh tahun
kerja di UMNO negeri, bahagian dan cawangan pernah menceritakan tentang
‘kejadian-kejadian aneh’ yang menimpa dana politik yang diperoleh
secara ‘cash’ di zaman Mahathir dulu.
Dengan transaksi rekod bank, saya merasakan ia lebih telus
berbanding wang itu disalurkan secara manual di atas kertas putih. Ia
lebih selamat dari tangan-tangan ‘mata duitan’ yang galak menyebat duit
di tengah jalan tanpa rekod. Lagipun, apa yang nak dirisaukan jika
Presiden selaku pemegang amanah yang mengendalikan dana itu?
Pada saya, lebih selamat wang untuk kegunaan keluarga disimpan dan
dijaga oleh bapa.
Jika dijaga oleh ibu, mungkin habis dibuatnya
membeli-belah memborong barang kemas.
Habis wang, diminta lagi dari
bapa. Lebih selamat lagi jika wang itu disimpan dalam akaun peribadi
bapa kerana jika simpan secara tunai dalam ‘wallet’, habislah ditarik
sekeping demi sekeping. Jika tidak ditarik ibu, mungkin anak-anak yang
wangnya tidak pernah cukup!
Pada saya, dengan memasukkan wang ke akaun peribadi Najib, itu
bukan isu sebenar. Isu sebenarnya terlalu berkepentingan mahu
menjatuhkan Najib. Setelah mengisytiharkan dirinya mahu menjatuhkan
Najib, maka malulah jika ia ditarik balik. Mana hendak diletakkan muka?
Maka kerana itulah perkara yang tidak wajar dipersoal pun akan
dipersoalnya…
Cuma saya ingin tegaskan pada pihak itu bahawa kami selaku ahli
UMNO akan melakukan apa yang perlu kami lakukan sebagaimana kami pernah
lakukan ketika beliau memegang jawatan Presiden UMNO dulu. Setia kami
tidak berbelah bagi bila berdepan dengan konspirasi dan tohmahan yang
tidak wajar ini…

Ini pula bekas-bekas Presiden UMNO. Tidak dinafikan jasa bakti mereka, cuma mereka bukan lagi Presiden UMNO hari ini, kan?
Dulu kami pertahankan Presiden dalam pelbagai isu seperti Memali,
Perwaja Steel, kontrak Litar Sepang, kontrak Petronas, ‘bailout’ MAS,
‘bailout’ syarikat kapal, Team A Team B, Proton, KLCC, KLIA, PKFZ dan
banyak lagi skandal lain. Jadi, tidak salah jika kami berbuat perkara
yang sama buat penyandang jawatan Presiden yang terkini.
Perlu bekas Presiden itu ingat bahawa kami mendokong insititusi
Presiden UMNO dan saya bukanlah ‘askar-askar upahan’ yang memilih
untuk menyokong individu atau pemimpin terpilih. Kami orang UMNO. Bak
kata orang sekarang, #bangsaUMNO.
Lebih 22 tahun tradisi ini dilaksanakan demi kelangsungan parti. Kami
diajar untuk mementingkan parti lebih dari kepentingan peribadi, kroni
atau masa depan karier politik anak sendiri. Siapa yang ajar agaknya?
Maaflah, bekas Presiden bukan Presiden lagi hari ini…
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment