Sunday, September 06, 2015
Pembangkang Sedang Cuba "Bunuh Imej" Perdana Menteri.. - Ahmad Maslan
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mendakwa, pihak pembangkang
sedang menggunakan taktik untuk menjejaskan reputasi dan menjatuhkan
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahmad berkata, ia dapat dilihat menerusi pelbagai fitnah dan tuduhan
tidak berasas yang dilemparkan ke atas Najib merangkap Presiden Umno,
sebagai usaha merosakkan reputasi serta imej beliau, bagi menimbulkan
persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinannya.
“Taktik itu merupakan antara perangkap pihak pembangkang bagi memastikan
Najib tidak lagi menjadi tunjang utama pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-14 nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak pembangkang juga dilihat cuba
‘membunuh’ 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan memanipulasi fakta
mengenai syarikat itu sehingga menimbulkan keraguan dan mengelirukan
rakyat.
Tambahan, katanya, terdapat juga usaha untuk menggoncang kekuatan
dalaman Umno dan Barisan Nasional, memandangkan kekuatan itu dilihat
adalah punca kemenangan BN pada PRU13 yang lalu.
Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan semua pemimpin serta ahli Umno supaya
tidak terperangkap dengan taktik kotor pembangkang itu, kerana ia akan
melemahkan parti.
“Jangan masuk perangkap (sehingga) memecahkan kekuatan Umno. Jika
kekuatan Umno pecah, maka kita akan lemah untuk (menghadapi) PRU14
nanti,” katanya.
Mengulas penganjuran perhimpunan Bersih 4 yang mendapat sokongan di luar
negara, Ahmad berkata, Umno juga boleh berbuat demikian dengan
menyatakan sokongan kepada kerajaan, memandangkan Kelab Umno turut
berada di 70 lokasi di seluruh dunia.
“Jika kita minta Kelab Umno di seluruh dunia itu bangkit menyokong
(kerajaan), ia juga kelihatan ada sokongan dari seluruh dunia, bukan
begitu? Kita cuma tunggu masa bila nak mengaktifkan bila perlu,”
katanya.
Terdahulu, dalam majlis dialog itu, Ahmad menjelaskan isu-isu semasa
yang menjadi kontroversi ketika ini, termasuk dana RM2.6 bilion, 1MDB
serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menurut beliau,
digunakan pembangkang sebagai perangkap untuk menjatuhkan kerajaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment