Thursday, September 03, 2015
Penganjur Perhimpunan Bersih Harus Bertanggungjawab – Abdul Rahman
BATU KAWAN : Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
terpaksa bekerja 36 jam untuk membersihkan longgokan sampah yang
ditinggalkanpeserta perhimpunan haram Bersih 4 di ibu negara, hujung
minggu lepas.
Justeru, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penganjur perhimpunan haram
itu harus bertanggunjawab dalam menanggung kos pembersihan berjumlah
RM65,000.
Beliau berkata pihak penganjur mempunyai kewangan yang cukup untuk
membayar kos pembersihan itu memandangkan mereka berjaya mengutip derma
sebanyak RM2.4 juta.
“Bukan sekadar sampah yang perlu dikutip, air kencing peserta
perhimpunan di pokok bunga, belakang bangunan, bawah tangga dan dalam
parit juga perlu dibersih.
“Duit (untuk pembersihan) itu bukan duit saya, itu duit kerajaan dan
duit rakyat. Kalau berani buat berani tanggung la…kenapa tak nak bayar
pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dilapor berkata
tindakan Abdul Rahman mengenakan kos pembersihan kepada pihak penganjur
Bersih 4 adalah tidak adil kerana itu merupakan tanggungjawab DBKL.
Ditanya mengenai pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di tujuh
negeri, Abdul Rahman berkata pihak kementerian sedang mendidik setiap
isi rumah untuk lebih memahami tanggungjawab mereka.
“Setakat ini, pelaksanaan itu masih dalam peringkat permulaan dan
kami kini dalam proses mendidik isi rumah memahami kaedah yang
ditetapkan. Kompaun hanya akan dikenakan pada 1 Jun depan sekiranya
perlu,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pelaksanaan pengasingan sisa pepejal itu
disambut baik penduduk di tujuh negeri terlibat khususnya golongan muda.
“Pelaksanaan ini akan dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan kerajaan
untuk kos melupus dan menguruskan sampah yang mencecah RM2 billion
setiap tahun,” katanya.
Tujuh negeri yang terlibat dalam pelaksanaan pengasingan sisa pepejal
yang bermula awal bulan ini ialah Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka,
Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Pahang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment