
Thursday, September 03, 2015
PM Umum Penubuhan AFINITY@SC
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan penubuhan Alliance of FINtech Community (aFINity@SC), yang
bertujuan untuk memacu rangkaian pemegang kepentingan dalam sektor
teknologi kewangan.

Perdana Menteri berkata teknologi kewangan, merangkumi pelbagai
bentuk teknologi termasuklah perisian dagangan dan data pasaran, telah
dikenal pasti sebagai sektor berpotensi tinggi baharu oleh Suruhanjaya
Sekuriti (SC).
Justeru, beliau berkata sokongan bersepadu terhadap teknologi kewangan akan diterajui oleh SC.
“Rangkaian ini akan menghubungkan usahawan teknologi kewangan kepada
pelabur, penyelidik, mentor dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya
dalam ucap tama beliau pada Simposium Pasaran Modal Dunia, di sini, hari
ini.
Najib berkata penubuhan aFINity@SC akan membantu meningkatkan
kesedaran mengenai peluang yang tersedia dalam sektor teknologi
kewangan.
Beliau berkata komuniti itu juga memangkinkan pembentukan dan
pembangunan perniagaan dengan membentuk hab bagi memupuk ekosistem
teknologi kewangan sepenuhnya serta menyediakan persekitaran kawal selia
untuk menggalakkan inovasi kewangan yang bertanggungjawab.
Teknologi lain yang termasuk dalam teknologi kewangan ialah teknologi
pertukaran, analisis, pengkomputeran awan, perangkaian kelajuan tinggi
dan teknologi mudah alih.
Bertemakan “Pasaran dan Teknologi: Memacu Pertumbuhan Masa Hadapan
menerusi Inovasi”, simposium dua hari itu yang bermula hari ini
merupakan platform untuk menggalakkan perbahasan mengenai pasaran modal
yang diterajui penggubal dasar, pihak berpengaruh dalam membuat
keputusan, ketua-ketua perniagaan dan pasaran.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment