Sunday, September 06, 2015
Ulama PAS Minta Khalid, Dr Siti Mariah Bertaubat Dan Kembali Ke Ajaran Islam
SHAH ALAM : Hanya beberapa jam sebelum Khalid Samad dan Dr Siti Mariah
Mahmud membayar kafarah kerana tebus baiah dengan menjamu fakir miskin
briyani kambing, seorang ulama PAS menggesa mereka bertaubat dan kembali
kepada ajaran Islam yang sebenar.
"Mereka kena bertaubat dan kembali ke jalan Islam yang sebenarnya. Mudah
sahaja. Minta maaf kepada umum dan kembali semula kepada PAS. Sebabnya
mereka telah berbaiah untuk setia dengan PAS," kata Timbalan Ketua Dewan
Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.
"Kita tidak pernah paksa (untuk berbaiah). Tetapi (kita kata) sesiapa
yang hendak bertanding atas tiket PAS, kena berbaiah. Jika tidak mahu,
dari awal lagi patut bertanding atas tiket lain.
"Mereka juga tidak belajar bidang syariah Islam, di mana baiah tidak
boleh dibayar kafarah. Baiah berbeza dengan sumpah. Sumpah hanya antara
seseorang individu dengan Allah SWT," tegasnya ketika dihubungi media, hari ini.
Khalid dan Dr. Siti Mariah, masing-masing Ahli Parlimen Shah Alam dan
Kota Raja akan membayar kafarah dengan menjamu 100 fakir miskin briyani
kambing dalam satu majlis, malam ini.
Ia berikutan tindakan mereka menyertai Parti Amanah Negara (Amanah),
sekali gus bertentangan dengan baiah yang pernah dilafazkan semasa di
dalam PAS ketika menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Khalid sebelum ini mendakwa tiada keperluan untuk wakil rakyat PAS meletak jawatan semata-mata menyertai Amanah.
Umum mengetahui baiah kini menjadi pertikaian di kalangan pemimpin dan
bekas pemimpin PAS kerana ia membabitkan ikrar lafaz setia terhadap
parti.
Keadaan lebih rumit apabila PAS Kelantan turut menambah lafaz cerai talak tiga bagi wakil rakyatnya.
Semalam Mahkamah Syariah Kelantan mengesahkan perkahwinan antara Ahli
Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli dan isterinya, sah gugur talak tiga
kerana melanggar baiah yang dilafazkan sebelum ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment