Friday, May 20, 2016

DAP Jangan Menyibuk, Kenapa Nak Ajar PAS : Tuan Ibrahim

Jangan menyibuk, itu kesimpulan jawapan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada DAP selepas parti itu menggesa PAS menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Besar untuk ditandingi AMANAH dalam PRK, 18 Jun depan.

Menurut beliau, PAS bukan di dalam Pakatan Harapan (PH) yang perlu mengikut telunjuk atau desakan DAP.

Malah tegasnya, untuk menyerahkan kerusi yang tradisinya ditandingi oleh PAS kepada AMANAH adalah tidak mungkin sama sekali.

“PAS sangat bersetuju satu lawan satu, tetapi tak mungkin PAS nak beri kerusi (Sungai Besar) milik PAS (kepada AMANAH).

“PH tak perlu masuk bertanding di kedua-dua kerusi. Tak mungkin PAS nak serahkan kerusi PAS kepada AMANAH, tak mungkin,” kata Tuan Ibrahim menjawab gesaan DAP supaya PAS hanya bertanding di Kuala Kangsar dan AMANAH di Sungai Besar.

Menurut Tuan Ibrahim, PH sepatutnya kena mengambil pengajaran daripada sikap mementingkan diri DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu.

Parti DAP sendiri katanya tidak pandai berkompromi ketika PRN tersebut jadi mengapa kini  mahu mengajar PAS untuk berkompormi?

“Kalau DAP Sarawak pun tak boleh berkompromi dengan PKR, tak mungkin PAS nak bagi kerusi PAS.

“Saya harap blok pembangkang sedar kerusi yang dipunyai oleh PAS tidak perlu diganggu oleh  mereka,” katanya.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini menggesa PAS supaya tidak berdegil dan menerima tawaran PH untuk bertanding pada PRK di Kuala Kangsar sebagai pertukaran melepaskan kerusi di Sungai Besar dan membiarkan AMANAH bertanding di situ.

Beliau berkata ia adalah demi kepentingan memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) di kedua-dua kerusi yang dipertandingkan pada 18 Jun ini.

“PAS perlu rasional dan berdegil, pertandingan satu lawan satu boleh dicapai di pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment