Monday, May 16, 2016

PRK Sg. Besar, Kuala Kangsar Medan Terbaik Amanah Buktikan Mereka Layak Ganti PAS

KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Razak menyifatkan hasrat Parti Amanah pimpinan Mat Sabu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini sebagai peluang terbaik parti itu untuk membuktikan bahawa mereka adalah parti terbaik menggantikan Pas dalam pakatan harapan.

Sambil mengalu-alukan hasrat Parti Amanah itu beliau berkata sebarang usaha kompromi dengan Pas hanya memperlihatkan pakatan harapan sebenarnya tidak mempunyai keyakinan dan kekuatan terhadap pakatan baru yang dibentuk serta diwar-warkan sebagai lebih padu berbanding pakatan sebelum ini.
pas vs amanah 
“Parti Amanah adalah parti yang menggantikan Pas di dalam pakatan harapan maka parti tersebut sememangnya layak untuk meletakkan calon sekaligus bakal bertembung dengan Pas menentang Barisan Nasional (BN).

“Kita yakin kalau Parti Amanah bertanding, Dap akan menyokong mereka sepenuhnya. Inilah masanya juga untuk melihat sejauh mana penyokong PKR dan Dap memberi undi kepada Amanah dan mampukah Pas menentang Amanah tanpa sokongan PKR dan Dap,” ujarnya kepada media.

Tambah Sulaiman, PRK kali ini sudah pasti akan lebih menarik kerana ramai yang ingin melihat sejauh mana Amanah mampu menewaskan Pas termasuk calon BN.

“Ini juga bakal menjadi tali ukuran untuk Amanah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Jika Amanah tidak mampu menewaskan Pas maka sudah pasti ia akan memberi impak kepada parti itu kelak.

“Sudah pasti Dap juga akan hilang keyakinan kepada kuda tunggangan baru mereka ini. Jadi, inilah medan ‘pertempuran’ sebenar untuk Amanah membeli jiwa Dap,” katanya lagi.

Baru-baru ini Pengerusi Parti Amanah Selangor, Izham Hashim mengeluarkan kenyataan bahawa sewajarnya parti itu mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana secara prinsipnya parti itu telah menggantikan tempat Pas dalam Pakatan Harapan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas Ahli Parlimennya merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun.

Pada PRU Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khairil memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.

PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon pada 5 Jun 2016.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment