Monday, May 16, 2016

Isu Gondol Bukit : Tindakan Kerajaan Dap P.Pinang Dikecam

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjxy8fjM4FJiQijFAv0cBvbp85ewOlB9uUZCy3ucmYzQXqIDlTHZbT-_vq1_LDwtL3TkA1dhgA-0Lv21ehvCZVIH7ggGfAw-3okLCIHpnCHKTecscUjFvAAsoN65nvDmd0MTMVIDFxS4b0/s400/BUKIT+GONDOL+PENANG.jpg
GEORGE TOWN : Isu penggondolan Bukit Relau, khususnya berhubung kerja-kerja mitigasi yang sedang dijalankan terus mendapat perhatian wakil rakyat pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata keluasan bukit yang digondolkan kira-kira tiga tahun lepas adalah lebih kurang lapan hektar, namun kini beliau mendapati keluasan kawasan yang terjejas ekoran proses mitigasi mencecah sehingga 20 hektar.

“Kita dapat lihat kerja-kerja mitigasi di kawasan asal yang terjejas akibat penggondolan dulu, tetapi bagaimana dengan kawasan baharu seluas 50 ekar (20 hektar) ini yang diteroka untuk kerja-kerja mitigasi?

“Sedangkan struktur yang dibuat itu adalah binaan kekal dan saya boleh merumuskan kerja-kerja mitigasi yang sedang berlaku itu sebenarnya projek penggondolan kekal,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Shariful Azhar berkata beliau juga difahamkan kos kerja-kerja mitigasi di puncak bukit berkenaan mencecah sehingga RM20 juta.

Menyentuh isu sama, Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata difahamkan kos mitigasi Bukit Relau boleh mencecah sehingga RM50 juta dan mempersoalkan apakah terdapat elemen lain sehinggakan kosnya begitu besar.

Turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan isu penggondolan bukit itu ialah Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) yang menggesa kerajaan negeri menjelaskan  kes-kes penggondolan bukit yang baharu termasuk di Sungai Ara dan Bukit Bendera seperti dilaporkan media.

Kerajaan negeri sebelum ini pernah dikecam oleh pelbagai pihak ekoran isu penggondolan puncak Bukit Relau dengan tahap kemusnahannya dapat dilihat dari Jambatan Pulau Pinang dan syarikat pemaju bertanggungjawab terhadap bukit yang juga dikenali sebagai Bukit Botak itu telah didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Terdahulu, Shariful Azhar turut menyarankan kerajaan negeri supaya mengharamkan penggunaan logo ‘No Pork’ (Tiada Babi) di restoran negeri ini  kerana ia boleh mengelirukan orang ramai khususnya pelancong asing yang beragama Islam.

Katanya penggunaan logo itu tidak membawa maksud bahawa restoran berkenaan menyediakan makanan yang betul-betul halal untuk pengunjung beragama Islam dan  sama ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan di restoran yang menggunakan logo ‘No Pork’.

“Atas sebab itu, saya berasakan adalah lebih baik logo Halal dan Tidak Halal sahaja digunakan bagi membezakan restoran-restoran di negeri ini untuk mengelak  kekeliruan,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment