Friday, May 20, 2016

Tunjuk Power Tu.... Kata Dua Azmin... Serah Sungai Besar Pada PKR Atau PAS Keluar Dari Kerajaan Selangor

PAS diberi kata dua oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya menyerahkan kerusi Sungai Besar kepada PKR atau keluar daripada kerajaan Selangor pada Isnin ini.

Sebaliknya, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan pendirian parti tersebut untuk bertanding di kedua-dua kerusi PAS Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan menolak ugutan Azmin.

"PAS kekal bertanding di kedua-dua kawasan dalam PRK kali ini. Hormati kami jika kami menolak rundingan 'mee segera' yang sekadar untuk memaksa kami melepaskan hak berasaskan kerusi PRU13.

"Luka dalam kami masih belum sembuh. Penawarnya bukan ubat satu malam. Saya hormati luka dalam DS Anwar Ibrahim terhadap Tun Mahathir. Sesiapa pun boleh berkata, tutuplah cerita lama. Tetapi, adat berkawan, adat berunding, hormati tuan hak sebelum tunjuk belang," kata beliau dalam satu komen di facebooknya tengah malam Rabu.

Ugutan Azmin dipandang sepi oleh Pemuda PAS.

"Kalau masing-masing nak tunjuk belang, biarlah kami kekal bulan," kata Nik Abduh.

Exco Selangor dari PAS telah diminta untuk meletakkan jawatan pada Isnin depan jika parti mereka berkeras untuk bertanding di Sungai Besar.

The Star melaporkan kata dua itu datang dari Azmin yang mahu PKR bertanding di parlimen itu dan bukannya PAS atau Parti Amanah Nasional (PAN).

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, telah menyampaikan perkara ini kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad, dan exco PAS yang lain, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib, selepas mesyuarat exco kerajaan negeri pada Rabu.

Bagaimanapun, sumber PAS Selangor berkata kepimpinan tertinggi parti telah memutuskan untuk terus bertanding selepas mesyuarat lewat malam di rumah Datuk Seri Hadi Awang di Rusila, Terengganu.

Tiga anggota exco negeri dan beberapa pemimpin parti Selangor telah terbang ke Terengganu pada Rabu untuk mesyuarat tergempar.

"Presiden kami tetap dengan keputusan jawatankuasa pusat untuk bertanding dalam pilihan raya," kata sumber PAS Selangor.

Hadi mengarahkan ketiga-tiga exco untuk tidak meletak jawatan. Beliau berkata parti itu bersedia untuk dipecat daripada kerajaan.

Dalam pertemuan dengan exco PAS, Azmin berkata PKR mempunyai peluang yang lebih baik jika berlawan dengan UMNO di Sungai Besar.

Beliau berkata, PKR boleh meraih undi Melayu dan Cina manakala jika PAS atau PAN akan memberi kemenangan mudah kepada UMNO.

Azmin memberi jaminan bahawa beliau akan berunding dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan untuk laluan kepada PAS di Kuala Kangsar.

Beliau juga berjanji bahawa PAS akan diberikan kerusi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum akan datang. PKR pernah bertanding dan kalah di Sabak Bernam pada tahun 2013.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khairil Wan Ahmad dalam nahas helikopter awal bulan ini. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment