Wednesday, May 18, 2016

Mahathir Punya Pasal 'Apa Kisah Surat Daripada Anwar...'

KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin menyifatkan surat dari bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang panjang lebar sebagai teguran kepada semua pimpinan PKR dan secara tak langsung mengesahkan kesahihan surat tersebut.

Menurutnya, kandungan surat itu sebagai penyuluh kepada pemimpin parti dan penyokong Pakatan Harapan.

"Ini adalah satu surat teguran kepada semua lapisan pimpinan PKR dan saya sambut secara positif apa yang ditegur Datuk Seri Anwar kerana dalam keadaan politik yang penuh dengan cabaran, fikiran beliau, teguran itu jadi penyuluh kepada semua pemimpin PKR dan penyokong Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, surat lapan muka surat bertulis tangan dipercayai dari Anwar itu, menyentuh soal gerakan selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat.

Tze Tzin turut menafikan Deklarasi Rakyat itu akan memecahbelahkan pakatan pembangkang susulan wujud perdebatan menyokong dan membantah perkara tersebut.

"Selama ini kita ada usaha untuk betulkan politik Malaysia. Surat ini menyeru semua balik ke pangkal perjuangan. Datuk Seri Anwar sangat 'clear thinking'. Beliau beri bimbingan yang baik untuk tunjuk jalan lurus.

"Saya tidak fikir begitu (pecah-belahkan pembangkang). Ini (debat) pula bagus untuk demokrasi. Saya fikir, negara dalam keadaan yang sebegini, lagi banyak debat, lagi bagus sebab kita mahu rakyat terlibat dengan perdebatan hala tuju negara.

"Saya gembira melihat banyak perdebatan," katanya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan mengulas lanjut dan hanya menyifatkan isu surat itu sebagai masalah dalaman.

Dalam pada itu, Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata Anwar sering mengirim pesanan dari penjara.

"Penjara membenarkan peguam masuk sejam setiap minggu. Anwar boleh komunikasi dengan orang tertentu.

"Beliau sentiasa beri mesej-mesej tapi kali ini mesej yang agak panjang diberi. Ia menyentuh banyak perkara. Salah satu perkara yang disentuh berkenaan Deklarasi Rakyat," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment