Friday, May 20, 2016

Perghhhh..... Waspada dengan Tun Mahathir - Wan Azizah

KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pemimpin pembangkang supaya berwaspada dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saranan itu ditujukan kepada kepemimpinan pembangkang yang memutuskan untuk menyertai deklarasi dipelopori bekas Perdana Menteri itu bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta beberapa pemimpin pembangkang lain.

"Waspadalah... itu sahaja," katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai surat didakwa ditulis oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain meminta pemimpin pembangkang yang bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk berwaspada dengan politik elit penguasa. Dalam suratnya, Anwar menyebut deklarasi itu sebagai dokumen Mahathir, cacat, tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi serta hanya menumpukan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus jauh terpesong daripada perjuangan pembangkang. Kesahihan surat itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah dilaporkan menolak untuk menyertai kempen Selamatkan Malaysia diketuai Dr Mahathir, selain enggan berjumpa bekas Perdana Menteri itu yang pernah memecat suaminya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika ditanya sama ada pemimpin PKR perlu menarik diri daripada menyertai deklarasi Mahathir itu, Dr Wan Azizah enggan mengulas dan menyatakan surat Anwar tidak menyebut perkara berkenaan. Wan Azizah bagaimanapun menyifatkan surat suaminya itu sebagai isu dalaman parti.

 "That is an internal matter (Itu hal dalaman)," katanya. Sementara itu, Ketua Whip PKR di Parlimen, Datuk Johari Abdul, berkata pendirian PKR adalah jelas bahawa parti itu tidak menyokong deklarasi Mahathir. "Tetapi terpulang kepada mana-mana individu sama ada untuk menyokong deklarasi yang diterajui Dr Mahathir atau tidak," katanya kepada BERNAMA. Kelmarin, sebuah portal media melaporkan Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa deklarasi yang diterajui Dr Mahathir sebagai tidak sempurna dan lari dari agenda reformasi sebenar.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment