Monday, May 16, 2016

Peruntukan Percuma Untuk Belia Sertai Mobilepreneur – Ismail Sabri

http://m.utusan.com.my/polopoly_fs/1.326339!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_650/image.jpg
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperkenalkan konsep perniagaan baharu iaitu Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) dengan pemberian peruntukan percuma RM10,000 kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi tujuan itu, kementeriannya telah memperuntukkan RM2.3 juta kepada 230 usahawan muda pada tahun ini untuk mereka menjalankan perniagaan dengan cara konsep perniagaan menggunakan motosikal itu.

“Mobilepreneur dengan menggunakan motosikal ini boleh dikatakan ia konsep perniagaan baharu kita perkenalkan untuk membantu usahawan belia di negara ini.

“Kita akan bagi seorang RM10,000 yang meliputi kos membeli motosikal RM5,000, pembelian peralatan RM4,000 manakala RM1,000 lagi untuk latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Ke Arah Menangani Kos Sara Hidup peringkat negeri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata perniagaan menerusi Mobilepreneur itu lebih mudah tanpa memerlukan modal besar untuk membuka premis perniagaan sekaligus mampu menjimatkan kos usahawan muda terlibat.

Beliau berkata aktiviti perniagaan dengan cara bergerak menggunakan motosikal itu lebih berorientasikan kepada perkhidmatan yang bercirikan mesra pelanggan.

“Misalnya untuk servis kereta, motosikal atau penghawa dingin, pelanggan tidak perlu lagi ke bengkel mahupun ke kedai servis. Pelanggan hanya perlu menghubungi usahawan Mobilepreneur ini untuk datang ke tempat mereka, dan ini lebih menjimatkan masa pelanggan,” katanya.

Katanya antara syarat kelayakan untuk menyertai Mobilepreneur dan mendapat peruntukan di bawah kementeriannya itu adalah mereka mestilah golongan belia yang berpendapatan rendah dan masih menganggur.

“Kita perkenalkan Mobilepreneur ini untuk membantu golongan belia yang berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment