Friday, October 11, 2013

Bajet 2014 Kelantan Cuma Defisit RM10.39 Juta?

11 Oktober 2013


Sidang DUN Kelantan
Awal minggu ini Menteri Besar Kelantan, Dato Ahmad Yakob telah membentangkan Bajet 2014 yang mencatatkan defisit sebanyak RM10.39 juta di mana anggaran perbelanjaan mengurus pada tahun depan ialah RM559.64 juta berbanding jangkaan hasil cuma RM549.26 juta.

Seimbas lalu tiada apa yang pelik dengan belanjawan yang dibentangkan oleh Mat Yakob yang baru enam bulan menjadi MB Kelantan. Namun ada sesuatu yang cukup menarik perhatian penulis disebalik angka-angka belanjawan yang dibentangkan.

Maksud penulis ialah angka defisit RM10.39 juta itu, adakah ia benar-benar satu jumlah defisit yang bakal dialami atau jangkaan sebenar kekurangan hasil tahun depan sebetulnya jauh lebih besar dari yang dibentangkan?

Bila diteliti ucapan pembentangan Bajet 2014 di DUN Kelantan pada 7 Oktober 2013, jelas disebut anggaran keseluruhan hasil yang bakal diperolehi pada tahun 2014 ialah RM549.26 juta dan daripada jumlah tersebut 36.41% adalah perolehan hasil royalti petroleum.

Persoalannya, sejak bila Kerajaan PAS Kelantan telah menerima hasil royalti? Bukankah kes tuntutan royalti masih belum diputuskan oleh Mahkamah? Bila belum diputuskan tiada hasil yang masuk ke kantung Kerajaan PAS Kelantan sebaliknya duit belanja negeri pula yang menderu masuk dalam kocek para peguam.

36.41% daripada RM549.26 juta bermaksud RM200.00 juta, maknanya tanpa hasil royalti petroleum maka anggaran perolehan sebenar untuk kantung Kerajaan PAS Kelantan pada tahun depan cuma RM349.26 juta sahaja. Ini bermakna defisit sebenar Bajet 2014 Negeri Kelantan ialah RM210.39 juta, bukan begitu?

Jauh benar bezanya antara defisit RM10.39 juta dengan defisit RM200.39 juta sumpama bumi dengan langit. Walhal kalau menceritakan jumlah sebenar defist RM200.39 juta tersebut dalam Bajet 2014 Kelantan, bukannya satu kesalahan kerana umum tahu sesuatu belanjawan mengalami defisit, lebihan atau berimbang dipengaruhi banyak faktor.

Tapi bila mana sengaja memasukkan angka hasil yang tidak wujud di dalam belanjawan negeri maka ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dan boleh ditafsirkan sebagai satu cubaan mengabui mata rakyat.

Lainlah kalau Mahkamah sudah menetapkan keputusan memihak pada Kerajaan PAS Kelantan atau kedudukan telaga minyak ialah dalam lingkungan 3 batu nautika dari pesisir pantai Kelantan, barulah boleh dimasukkan berapa jumlah royalti yang layak diterima.

Pun begitu, usahlah terkejut kerana ini hanyalah sebahagian dari seni silap mata Kerajaan PAS Kelantan dan ia bukan kali pertama berlaku. MB Kelantan yang baru nampaknya terpaksa meneruskan jejak peninggalan seorang bekas EXCO yang terlebih-lebih pandainya.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment