Friday, October 11, 2013
Kejutan Baru UMNO Besut, Terawal Selesai Pemilihan Jawatan Utama
21 September 2013
Beberapa hari lepas pemerhati politik dikejutkan dengan pengumuman Datuk Seri Idris Jusoh melepaskan jawatan Ketua Bahagian Besut yang disandangnya semenjak 2001 meskipun mempunyai laluan yang cukup selesa untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Lebih mengejutkan lagi apabila Idris hanya mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Bahagian, satu langkah yan dilihat ramai mengundur ke belakang, secara kasarnya begitulah tapi hakikatnya ada congak kira untuk kepentingan UMNO Besut.
Percaturan bekas MB Terengganu itu seperti diulas dalam artikel sebelum ini mempunyai perkiraannya yang tersendiri dan ia tidak lain tidak bukan berkait rapat dengan kesinambungan usaha yang dipeloporinya untuk memperkuatkan UMNO Bahagian dengan barisan pemimpin pelapis.
Yang muda diketengahkan, yang berkaliber dan menyerlah diberi laluan sementara yang lama bertahtha mengundur setapak dua sambil memerhati perjalanan Bahagian agar terus utuh dari masa ke semasa.
Congak kira sebegini memang di luar kotak tapi ia bermanfaat untuk kepentingan parti kelak.
Pun begitu tatkala kejutan tersebut belum reda sepenuhnya, semalam sekali lagi UMNO Besut menarik perhatian umum apabila jawatan Ketua Bahagian yang dikosongkan oleh Idris yang asalnya membabitkan pertandingan dua penjuru berakhir tanpa pertandingan.
Kini jawatan Ketua Bahagian Besut secara rasminya disandang oleh bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Nawi Mohamad setelah saingannya yang juga adalah ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof menarik diri. Tahniah kepada YB Nawi dan tahniah juga kepada YB Pehimi kerana berjiwa besar sedia berkompromi demi kebaikan parti.
Manakala untuk jawatan Timbalan Bahagian pula khabarnya juga mungkin selesai tanpa pertandingan apabila Pengarah Unit Komunikasi negeri, Shamsuddin Sulong dikatakan menarik diri untuk memberi laluan kepada rakannya iaitu ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa. Jika ini juga benar selayaknya kedua-duanya diberi pujian kerana sedia bertolak ansur.
Penulis percaya Datuk Seri Idris Jusoh yang cukup terkenal dengan pelbagai keunikan taktikal strategiknya telah membuktikan ketokohannya yang terpuji dan kini sedang diteladani oleh anak-anak buahnya sehingga terhasil keindahan kompromi yang jarang-jarang dapat disaksikan.
BRAVO untuk beliau dan tahniah kepada UMNO Besut serta Terengganu.
Kepada UMNO Bahagian lain di seluruh negara yang mana sudah muktamad ada pertandingan, teruskan saja namun biarlah semuanya berlangsung dalam suasana kekeluargaan, mudah-mudahan segalanya lancar dan membawa manfaat untuk Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment