Friday, October 11, 2013
Jamilah mahu memperkasa Puteri UMNO di Jerantut
KUANTAN 6 Okt. – Calon Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Jamilah Jaafar, 32, berazam memperkasa golongan wanita muda di bahagian berkenaan supaya bukan sahaja lebih memahami malah matang dalam berpolitik.
Jamilah yang juga Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Jerantut berkata, beliau ingin memastikan tiada lagi persepsi golongan wanita muda tidak matang dalam berpolitik dan hanya sekadar penyeri dalam parti.
“Berbekalkan pengalaman yang saya ada dalam parti, saya rasa saya mahu mengambil peluang ini (bertanding Ketua Puteri UMNO bahagian) untuk terus mengemudi Puteri UMNO Bahagian Jerantut.
“Saya akui, ini tugas yang berat dan mencabar, tetapi saya yakin mampu melaksanakannya demi memastikan Puteri UMNO terus segar dan bukan sekadar penghias dalam parti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pemilihan parti bulan ini, jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Jamilah, Nor Shafinaz Mohd. Azman dan Rosffazaleen Abdul Rahman.
Jamilah berkata, beliau akan memastikan lebih ramai golongan muda profesional menyertai Puteri UMNO Bahagian dan mengembalikan keyakinan wanita muda untuk bersama-sama memperjuangkan maruah serta martabat agama, bangsa dan negara.
“Golongan wanita muda terutama ahli puteri UMNO perlu diperkasakan demi mewujudkan keharmonian dan sifat kekeluargaan dalam melakukan tanggungjawab bersama terhadap masyarakat,” katanya.
Mengenai pertandingan tiga penjuru merebut jawatan tersebut, beliau yang lebih mesra dalam kalangan ahli Puteri dengan panggilan JJ berkata, perkara itu memperlihatkan proses demokrasi yang sihat dalam UMNO.
“Saya menawarkan diri apabila ada kekosongan setelah penyandang, Datuk Hartini Abd. Rahman tidak mempertahankan jawatan kerana faktor umur,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment