Friday, October 11, 2013

UMNO Mendepani Cabaran Transformasi – Siapa Yang Relevan Bersama PM dan TPM?

10 Oktober 2013


pau
Buat pertama kalinya, seramai kira-kira 146500 perwakilan berikan hak untuk menentukan pucuk pimpinan tertinggi dalam hierarki kepartian Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Akar umbi diberikan hak, yang membawa erti tanggungjawab terhadap siapa yang mereka pilih.

UMNO jelas mendepani cabaran, apabila membuka pintu demokrasi seluas-luaskan kepada perwakilan. Setuju atau tidak, pendekatan ini bakal dijadikan “benchmark” untuk parti-parti politik di Malaysia, samada tulus dalam membicarakan keterbukaan, atau sekadar menanam tebu di tepi bibir.

Atas faktor pertama kali, tentunya terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki. Waima pemilihan masih di dalam fasa berkempen, sudah terdengar rungutan akar umbi berkenaan undang-undang pemilihan. Ini menunjukkan prosedur dan garis panduan yang telah digubal perlu penambahbaikan sekiranya perlu, berdasarkan maklumbalas dari akar umbi.

Hak, atau tanggungjawab yang diberi kepada para perwakilan bukanlah enteng. Ia bakal menentukan siapa yang menakhodai bahtera sebuah perjuangan. Ia bakal menentukan halatuju parti, dan nasib agama, bangsa dan negara menjadi pertaruhan.

Bagi penulis, transformasi hanya akan terbiar menjadi retorik semata sekiranya para perwakilan bersikap sambil lewa dalam menentukan pucuk pimpinan. Kepada siapa dayung dihulurkan, sedang sampan sedia menanti?

Apa yang perlu perwakilan lihat dalam soal memilih pemimpin berdasarkan trak rekod mereka, terutamanya yang memegang jawatan menteri. Ini adalah golongan yang paling mudah untuk dijadikan kumpulan sasar, kerana masyarakat dapat menilai mereka secara langsung melalui isu-isu yang berlaku. Untuk perwakilan, cuba nilai prestasi mereka, bukan hanya berdasarkan isu-isu semata, malah melalui dasar-dasar yang dibuat sewaktu bergelar menteri di satu-satu kementerian.

Apakah mereka berjaya, atau sekadar menjadi “parasit” kepada tiang seri perjuangan, iaitu agama, bangsa dan negara?

Dalam pada itu, perwakilan tidak harus terpedaya dengan isu-isu semasa yang masih belum dapat dianalisa secara menyeluruh. Ia hanya akan bersikap berat sebelah sekiranya satu-satu pihak belum diberi peluang menjawab. Bersikap adillah kepada diri sendiri sebelum membuat keputusan. Oleh yang demikian, perlu untuk perwakilan membuat sedikit “homework” berkenaan calon-calon yang bertanding berdasarkan kriteria-kriteria seperti di atas.

Di Selangor, sebagai contoh, mengalami kekalahan teruk dalam sejarah pilihanraya. Apakah perwakilan masih mahu memberi kepercayaan kepada pemimpin yang telah kalah pada PRU yang lalu? Bukan berniat untuk menghasut, penulis sekadar melontarkan kriteria untuk sama-sama difikirkan oleh perwakilan semua. Sejauh manakah pemimpin-pemimpin yang telah kalah di tempat sendiri, masih relevan untuk memimpin sebuah parti?

Itu belum diambil kira dari golongan pemimpin yang pernah dua kali kalah di PRU. Berbaloikah untuk perwakilan diketuai oleh mereka untuk penggal seterusnya?

Cabaran politik negara semakin menuntut pemimpin yang faham tentang desakan politik baru. Kadar celik politik yang tinggi selepas PRU13 telah mengubah keperluan dan kehendak rakyat. Transformasi diyakini sangat diperlukan oleh UMNO.

Penulis bermohon, agar semua perwakilan dapat memilih dengan tepat, demi cita-cita sebuah bangsa merdeka. Tersilap pilih, anda harus bertanggungjawab kepada puluhan generasi.

Buktikan bahawa UMNO menjuarai transformasi.

Tepuk dada, tanya hati. Kerana kekuatan hati lebih teguh dari akal yang sentiasa mengakal.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment