Friday, October 11, 2013

Meneladani Jiwa Besar Idris Jusoh

24 September 2013


Idris Jusoh - Pemimpin Berjiwa Besar
Berita penarikan diri Datuk Seri Idris Jusoh dari jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut yang disandangnya sejak 2001 sememangnya tak terduga oleh ramai pemerhati politik apatah lagi ia berlaku selepas beliau berjaya mengemudi kemenangan BN dalam PRK Kuala Besut baru-baru ini.

Semasa PRU-13 yang lalu, UMNO Besut yang diketuainya mengekalkan kemenangan tanpa kalah 4+1, satu kejayaan gemilang yang turut dikongsi bersama UMNO Setiu tatkala asakan PAS di negeri itu kuat membadai selepas mengambil kesempatan dari krisis kepimpinan di peringkat negeri.

Berdasarkan rekod tersebut ia cukup untuk membuktikan keberkesanan Idris sebagai pemimpin Bahagian yang cukup berpengaruh yang mana sekiranya beliau mahu mempertahankan jawatan Ketua Bahagian kemenangan selesa sudah tentu miliknya dan boleh bertahan untuk sekurang-kurangnya dua penggal lagi.

Namun bekas Menteri Besar Terengganu (2004-2008) itu mengambil pendekatan di luar kebiasaan mengetepikan kepentingan peribadi dengan melepaskan jawatan yang disandang sebaliknya hanya mengisi kekosongan Naib Ketua Bahagian.

Langkah yang sukar dimengertikan oleh sesetengah pihak itu hakikatnya mempunyai congak politiknya yang tersendiri.

Idris yang kini adalah Menteri Pendidikan II sebetulnya memandang jauh ke depan, pengundurannya sebagai pemimpin utama Bahagian hanyalah sebahagian dari usaha penting yang selaras dengan agenda transformasi oleh Presiden parti untuk meremajakan UMNO dengan memberi laluan kepada pemimpin muda.

Usaha yang berjiwa besar ini penting kerana inilah langkah perlu dalam memastikan wujudnya pemimpin pelapis generasi muda dalam memastikan Bahagian yang merupakan nadi kekuatan UMNO terus utuh. Ia seharusnya diteladani oleh pemimpin UMNO di Bahagian lain.

Berikutan tindakannya itu juga membolehkan beliau memberi lebih tumpuan terhadap tanggungjawab barunya sebagai Menteri Pendidikan II di masa yang sama terus mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi membolehkan buah fikirannya terus dimanfaatkan oleh parti.

Bravo kepada Datuk Seri Idris Jusoh kerana berfikiran jauh dengan membelakangkan kepentingan diri, anda sememangnya pemimpin yang berjiwa besar yang sukar di cari ganti. Penulis percaya pengorbanan Datuk tidak akan disia-siakan oleh ahli UMNO dalam pemilihan parti kelak.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment