Friday, October 11, 2013
Bicara Presiden ADAM : Sekitar Pemilihan UMNO 2013
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Bermula 4 Oktober 2013 yang lalu bermulalah anganan dan mimpi-mimpi sesetengah insan ... yang mana mengimpikan kedudukan dan kuasa di dalam sebuah pati keramat yakni Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pemilihan yang dikatakan sebagai usaha menyegarkan DEMOKRASI di dalam Parti UMNO ini dengan format dan sistem baharu yang mana bagi memastikan pemimpin yang dipilih merupakan pemimpin yang benar-benar dapat diterima dan ditentukan oleh akar umbi.
Jikalau dulu G7 atau Bahagian yang berkuasa dan memiliki kuasa menentukan keputusan tetapi kini tidak lagi. Tiada lagi kempen menerusi ucapan berdegar-degar dan roadshow ceramah ke serata negara bagi memancing undi perwakilan di setiap daerah dan negeri dibenarkan. Yang tinggal kini hanya proses Memperkenalkan Calon-Calon yang bertanding samada untuk Jawatan MT UMNO, MT Wanita UMNO, MT Pemuda dan juga MT Puteri UMNO.
SESI PENGENALAN CALON DI NEGERI-NEGERI SELURUH MALAYSIA
Saya sendiri berkesempatan menilai sejauh mana relevannya sesi pengenalan calon ini, sepertimana berlangsung di Ipoh baru baru ini, diikuti dengan Selangor dan Kuala Lumpur... saya melihat bahawa sesi pengenalan calon ini merupakan satu sesi menunjukkan wajah siapa yang bertanding dan tidak lebih dari itu... pada saya, kehadiran, sorakan penyokong, dan tepukan gemuruh tiada langsung korelasi dan signifikannya terhadap keputusan yang bakal dibuat oleh lebih kurang146,500 perwakilan yang bakal bersidang pada 12 Oktober 2013 ini.
Tatkala saya menulis ini, tanggal 7 Oktober 2013, maknanya hanya tinggal lebih kurang 4 hari sahaja lagi masa yang tinggal untuk setiap calon berbuat sesuatu bagi memastikan kemenangan di dalam genggaman. Teringat saya akan kata-kata Dato' Ghazali Ahmad, Veteran UMNO yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, beliau menyatakan selagi mana pemilihan berlum berlangsung... "Menang belum tentu, kalah belum ditentukan...". Maka semua calon-calon yang saya nyatakan tadi masih mempunyai segenap peluang untuk berusaha mencari kaedah, jalan serta strategi terbaik bagi memenangi pertandingan yang pertama kali diadakan menerusi sistem yang sebegini rupa.
Memang benarlah yang sesi pengenalan calon ini dikatakan sebagai sesi untuk memberi ruang kepada perwakilan lebih dekat dan mengenali calon yang bertanding. Sebab itu walaupun tidak diberi peluang berucap, mereka boleh berjabat tangan dengan perwakilan dan boleh mengedarkan kad atau risalah memperkenalkan diri kerana perwakilan juga perlu tahu latar belakang calon terbabit.
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustammenyifatkan majlis pengenalan calon ini merupakan satu pendekatan terbaik untuk memperkenalkan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO, selain mampu menyekat penggunaan politik wang dalam pemilihan parti. “Semua calon dapat memperkenalkan diri masing-masing,mudah-mudahan dapat diterima oleh ahli dan pengundi di peringkat akar umbi".
“Satu permulaan yang baik di negeri Perak, diharap dapat dicontohi di negeri-negeri lain menjelang hari pemilihan sebenar kelak”, katanya.
Seorang lagi calon Naib Presiden UMNO, Datuk Mukhriz Mahathirmenyifatkan pendekatan memperkenalkan calon ini memberi peluang yang menawarkan diri untuk memperkenalkan diri, walaupun tidak dibenarkan berucap, namun calon boleh berdiri untuk menunjukkan muka kepada pengundi. “Pada pandangan saya, ini merupakan perkara yang paling asas, dan jika perkara ini tidak dibuat, saya bimbang kerana ada calon-calon Majlis Tertinggi ini orang baru, nama-nama yang belum kita kenal".
“Walaupun masih baru, ini tidak bermakna mereka tidak ada peranan untuk membantu parti. Jadi, majlis ini dilihat sebagai sangat berguna,” ujarnya yang juga Pengerusi BN Negeri Kedah.
Namun demikian sepertimana yang saya nyatakan tadi, sesi pengenalan calon ini, menurut pemerhatian saya langsung tidak membayangkan apa-apa. Malahan sorakan yang dilaung-laungkan juga jauh daripada bayangan keputusannya nanti (menurut firasat sayalah...). Misalannya, bagi pentas MT UMNO sorakan yang agak kuat khusus buat para Menteri... mengapa? Sebab mereka ini dikenali di peringkat Nasional dengan jawatan yang mereka sandang, ini termasuklah Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan sebagainya.
Namun, kayu ukur yang menentukan dimana kedudukan mereka pada 12 Oktober 2013 nanti HANYA akan ditentukan nasib mereka di tangan perwakilan sendiri. Itulah hakikatnya.. dan ini juga hakikatnya buat para menteri yang bertanding yang kini sedang tak senang duduk dan tidak tidur lena memikirkan samada mereka masih boleh bertahan dengan kedudukan mereka.
SEJARAH PEMILIHAN
Sedikit imbauan mengenai fakta sejarah. Kali terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada tahun1987. Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad. Tengku Razaleigh kalah. UMNO berpecah.
Kali terakhir Timbalan Presiden UMNO dicabar pada tahun 2008apabila Muhyiddin Mohd Yassin dicabar oleh Muhamad Muhd Taib.Muhyiddin menang.
Pertandingan sensasi Timbalan Presiden berlaku pada tahun 1993apabila Anwar Ibrahim mencabar Abdul Ghafar Baba. Setelah Anwar mendapat pencalonan yang banyak, Abdul Ghafar menarik diri daripada bertanding. Anwar menang tanpa bertanding. Sebulan kemudian Abdul Ghafar meletakkan jawatanTimbalan Perdana Menteri dan Anwar menggantikan beliau.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tun Hussein Onn menghadapi cabaran kamikaze oleh Haji Sulaiman Palestin dalam pemilihan 1978. Beliau menang dengan mudah dengan memperoleh 898 undi berbanding Sulaiman sebanyak 250.
Kita lihat bagaimana, sejak pemilihan 1987, UMNO begitu takut mempertandingkan jawatan Presiden dan sejak itu. Jawatan Perdana Menteri seolah-olah penentu kepada jawatan Presiden Umno.
Serentak itu juga, garis pemisahan antara UMNO dan kerajaan menjadi semakin kabur. Maka tidak hairanlah apabila kerajaan tidak popular UMNO turut tidak popular sebab orang ramai keliru antara UMNO dan Kerajaan, Kerajaan dan UMNO.
Pemilihan agung tidak lagi instrumental dalam menentukan siapa menjadi Presiden dan nasib Presiden sebagai Perdana Menteri.
Nasib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh pendapat umum dan oleh kebangkitan ahli seperti yang berlaku ke atas Abdullah pada tahun 2009. Hal yang sama akan menentukan kekal atau tidak Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.
Dan dalam kehampaan melihatkan tiadanya pertandingan pada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden... saya bertambah hampa apabila keluarnya kenyataan daripada Perdana Menteri yang menyatakan 'preference' beliau agar ketiga-tiga Naib Presiden UMNO sedia ada dikekalkan. Inilah kenyataan yang benar-benar menghampakan dan menampakkan betapa sifat Demokrasi boleh dirosakkan dengan kenyataan seperti ini.
Walaupun sedemikian, dari tinjauan yang dibuat di beberapa negeri termasuklah negeri saya (Negeri Sembilan), pernyataan orang nombor satu ini langsung tidak menggugat hasrat setiap bahagian di dalam negeri-negeri membuat pilihan mereka sendiri. Kerana, meyakini jika benar transformasi ingin dilakukan lakukan betul-betul.. "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan".
Dengar khabarnya, banyak juga negeri yang menolak kepimpinan Hishamudin lantaran beberapa siri kenyataan peribadi beliau yang dibuat hingga mengguris hati dan perasaan beberapa sayap UMNO.... dan banyak kali dengarnya beliau memainkan status dirinya sebagai 'sepupu' dengan PM.... barang diingat Parti UMNO ini untuk orang Melayu dan bukan Parti milik keluarga.... haii... entahlah....
NAIB PRESIDEN TUMPUAN 2013
Memandangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, maka tiadalah peluang untuk semua yang sekian lama ingin menyaksikan apakah Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin benar-benar diterima rakyat. Maka dengan demikian, aksi pemilihan pucuk pimpinan UMNO kali ini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden.
Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Presiden UMNO
Tan Sri Muhiyddin Yasin
Timbalan Presiden UMNO
Dalam pertandingan jawatan nombor tiga ini, apa sahaja boleh berlaku. Daripada tiga penyandang, Ahmad Zahid nampak kukuh, tetapiHishammuddin dan Shafie boleh dicabar. Antara pencabar mereka adalah Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Mahathir.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Mohd Shafie Afdal
Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein
Kalau pemilih tahu dan masih ingat, Mohd Ali dan Isa pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dalam pemilihan parti sebelum ini.
Dalam pemilihan 2008, Mohd Ali cuba mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya pada tahun 2004, tetapi dihalang setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau melanggar peraturan pemilihan berkaitan tuduhan politik wang.
Tan Sri Isa Samad
Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Mohd Isa memenangi kerusi Naib Presiden dalam pemilihan 2004dengan undi terbanyak tetapi dibatalkan setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau terbabit dengan politik wang dan digantung keahlian selama tiga tahun hingga 2008.
Satu-satunya muka baru dan termuda dalam barisan calon Naib Presiden adalah Mukhriz. Selain usia, kelebihan Mukhriz adalah beliau berjaya memimpin UMNO merampas balik Kedah daripada PAS dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.
Datuk Mukhriz Mahathir
Namun pengaruh Mohd Ali and Mohd Isa tidak boleh dipandang remeh. Kedua mereka mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan pemilihan kali ini, dengan bilangan pemilih kira-kira 150,000 orang, unsur akar umbi adalah kuat.
KHAIRY MEMPUNYAI JALAN MUDAH?
Khairy Jamaludin Abu Bakar
Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dicabar oleh empat orang iaituKetua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.
Walaupun beliau dibebani oleh tuduhan menjadi sebahagian daripadaBudak Tingkat Empat era Abdullah, beliau berjaya mengalahkan Dr Khir Toyo dan Mukhriz dalam pemilihan 2008.
Beliau baru berusia 37 tahun dan telah menjadi menteri penuh. Apa pun persepsi umum terhadapnya, prestasi beliau sebagai Ketua Pemuda, pemimpin generasi pasca-DEB dan pemikir semasa adalah memberangsangkan.
Pencabar beliau, termasuk Akhramsyah, adalah pemimpin akar umbi. Tiga persoalan timbul.
Pertama, apakah kepemimpinan Pemuda yang ada sekarang sepakat bahawa Khairy adalah ketua yang baik justeru itu tidak perlu diubah?
Kedua, adakah penyertaan ramai pemimpin akar umbi dalam percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda mencerminkan kebangkitan generasi muda UMNO?
Ketiga, adakah Khairy tidak popular dengan kepemimpinan akar umbi?
Apa pun, kecenderungan dan keberanian mereka menawarkan diri adalah dialu-alukan.
KETUA WANITA PENUH KONTROVERSI
Shahrizat Abdul Jalil (60 tahun) menghadapi cabaran yang tidak diduga daripada bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Pahang. Turut mengemukakan pencalonan adalahRaihan Sulaiman Palestin.
Shahrizat Abdul Jalil
Raihan Sulaiman Palestin
Maznah Mazlan
Dengan beberapa kontroversi di sekelilingnya, kedudukan Shahrizat boleh disifatkan sebagai “goyah” tetapi masih sukar dijatuhkan.
Beliau seorang yang diplomatik dan pandai mengambil hati. Hati terakhir yang dipikatnya ialah hati Perdana Menteri yang baru saja melantiknya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf menteri, walaupun Mohd Najib sudah ada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rohani Abdul Karim).
JAWATAN KETUA PUTERI UMNO SAMA RATA?
Jawatan Ketua Puteri yang ditandingi oleh Ahli Parlimen mudaMasjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, berupa persaingan sama rata.
Ini memandangkan kedua-dua muka baru ini masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing. Ada yang memberikan pandangan kepada saya yang Ermieyati mempunyai sedikit kelebihan dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dan dengan itu Jamilah sukar uantuk memenangi persaingan ini...
Saya agak kurang bersetuju dengan kenyataan ini memandangkan, hasil daripada pemerhatian saya kepada beberapa perwakilan yang saya kenali dari beberapa buah negeri rata-rata menyatakan bahawa mereka (Puteri UMNO) mahukan transformasi benar-benar dilaksanakan dan bukan hanya dilaung-laungkan. Dan, jikalau mereka dieri pilihan mereka lebih selesa dengan mereka yang belum ada apa-apa komitmen dan jawatan. Memandangkan Mas Ermiyati sibuk dengan posisinya sebagai Ahli Parlimen, maka Jamilah pula yang berkelebihan jika menurut perspektif ini.
Tambahan pula, Jamilah cukup disenangi kerana beliau sendiri aktif turun ke negeri-negeri berbekalkan prinsip dan kudratnya sendiri untuk merapati perwakilan dan dengan penuh rasa rendah diri berkongsi idea, hasrat serta prinsip perjuangannya pada setiap bahagian di seluruh negara.... malahan menurut sumber-sumber rapat sehingga ke saat ini Jamilah masih lagi berada di luar negeri Selangor dan menjelajah ke seluruh negara bagi memastikan wawasan serta dasawarsa beliau dapat dikongsi bersama sekelian Puteri di seluruh negara. Sedangkan Mas Ermiyati hanya sekadar menghadiri sesi pengenalan calon semata-mata (setakat ini lah)...
Persaingan Puteri ini, yang pada jangkaan awalnya saya lihat 'suam-suam kuku' rupa-rupanya tidak kurang hebatnya...
Saya berpeluang menyaksikan pertempuran kedua-dua calon ini dengan masing-masing sudah mula menyiarkan video kempen bagi menyatakan objektif, visi dan misi masing-masing. Saya katakan jikalau dari segi "appearance" gaya, kaedah yang digunakan, mungkin klip video Mas Ermiyati menarik perhatian memandangkan di dalam klip video beliau, beliau memetik kata-kata serta pandangan (walaupun kelihatannya seolah skrip yang dibaca dan dibuat-buat), mungkin golongan muda akan tertarik dengan model yang diambil seorangPeguam (mungkin ya), Elfira Loy (pelakon) dan seorang lagi Ketua Puteri UMNO Tanjung Karang (yang mana agak berisiko kerana membelakangi calon dari Negerinya sendiri - Jamilah )....
Idea 'appearance' memang saya puji, tapi jikalau dari segi 'content' nya, saya boleh katakan sebagai.... agak tidak seberapa...
Manakala, jikalau ditinjau kepada video yang diutarakan oleh Jamilah, jika saya seorang yang matang, mungkin saya akan memilih beliau, kenapa? Pendekatannya simple... mudah... padat dan boleh difahami, Kuasa Politik, Kuasa Ekonomi, Kuasa Sosial dan Teknologi menjadi pilihan penekanan pendekatan beliau. Kelihatannya ringkas tetapi sangat interaktif. Tapi, pandangan saya ini usahlah dihiraukan memandangkan saya tidak akan mengundi pun dalam sayap Puteri ini, namun tetaplah menurut satu sumber rapat saya... "Akhirnya Allah jua lah Yang Maha Kuasa bakal menentukan siapa pilihan akar umbi pada 12 Oktober 2013 ini untuk sayap dan 19 Oktober 2013 ini untuk MT..."
Dengan bilangan calon yang mendaftar sebanyak 261 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi dan tiga sayap parti, pemilihan kali ini menjanjikan persaingan yang hebat dan terbuka.
Mas Ermiyati Shamsudin
Jamilah Hanim Othman
Ia boleh menjadi permulaan kepada berakhirnya politik wang atau memburukkannya lagi gejala itu. Tugas Lembaga Disiplin menjadi bertambah berat. Kewibawaan pemilihan bergantung kepadanya. Saya berani katakan, yang Lembaga Disiplin perlu lebih teliti kali ini kerana sudah sampai di halwa telinga kita, yang budaya politik wang di dalam pemilihan kali ini sekalipun sebenarnya jauh panggang dari api untuk menyatakan yang gejala ini sudah berakhir.
Yakin dan percayalah akan kata-kata saya... dan benarlah kata-kataTun Dr Mahathir... "Perjuangan Kita Masih Belum Selesai!!!"
Apa pun Selamat Maju Jaya kepada yang bakal bertanding, mudah-mudahan hasrat membawa transformasi menyeluruh kepada parti keramat UMNO akan menjadi kenyataan... mudah-mudahan....
Sekian dan Wassalam......
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment