Friday, October 11, 2013

Ketua Pemuda UMNO Malaysia: Khairy Dicabar Empat Muka Baru

21 September 2013

khairy-jamaludin-pak-lah
KUALA LUMPUR, 21 September – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bakal berdepan empat pencabar dalam persaingan merebut jawatan utama sayap itu pada pemilihan parti Oktober ini.

Selain Khairy yang mempertahankan jawatan Ketua Pemuda, empat lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu ialah Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.

Pengumuman mengenainya dibuat Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas tempoh penyerahan borang pencalonan tamat 5 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Pada pemilihan UMNO 2009, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berdepan saingan tiga penjuru dengan Datuk Mukhriz Mahathir yang kini Menteri Besar Kedah dan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo untuk jawatan utama pergerakan itu.

Syed Rosli berkata beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu bagi memperjuangkan nasib masyarakat.

“Kita juga akan pastikan komunikasi golongan muda dengan kepimpinan teratas dapat didengari dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Akhramsyah pula berjanji membawa perubahan dari segi gerak kerja sayap bagi memastikan golongan muda dibela, jika dipilih sebagai ketua pergerakan itu.

Karim pula berkata beliau menawarkan diri bertanding berikutan jurang antara pimpinan atas pergerakan dan akar umbi semakin ketara.

“Jadi, misi utama saya ialah untuk kembalikan keyakinan akar umbi generasi muda dan orang Melayu kepada Pemuda selain perkasakan UMNO menjadi ejen pendesak dan memastikan apa jua keputusan kerajaan mesti diatur supaya orang Melayu dan Bumiputera tidak ketinggalan,” katanya.

pemuda-exco-calon-wakil-serah-borang-pemilihan-pusat-umno-2013

Irwan Ambak pula akan memberikan kenyataannya pada Selasa depan selepas pengumuman senarai rasmi calon bertanding.

Jawatan Naib Ketua Pemuda pula juga menyaksikan empat pemimpin dalam kalangan exco sayap iaitu Lokman Noor Adam, Khairul Azwan Harun, Jamawi Jaafar dan Mohd Iruan Zulkefli menawar diri bersaing dalam pemilihan parti kali ini.

Jamawi ketika ditemui yakin dipilih perwakilan dengan alasan banyaknya pemimpin Sabah berjaya diberikan jawatan penting dalam kerajaan pusat, manakala Lokman pula berwawasan mahu membawa sayap itu lebih proaktif sebagai lidah generasi muda dan orang Melayu.

Mohd Iruan pula mahu mewakili suara akar umbi selain mahu parti kembali kuat manakala Khairul Azwan pula mahu melonjakkan nama Pemuda Umno ke tahap lebih tinggi selain mahu menjadi pelengkap kepada Khairy.

Pada sesi penyerahan borang pencalonan hari ini, sebanyak 94 individu menawar diri untuk bertanding kesemua 24 jawatan yang terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan 20 Exco dalam pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Oktober ini.

Jawatan Pengerusi Tetap Pemuda menyaksikan tiga individu menawar diri bertanding, Timbalan Pengerusi Tetap (lima) dan Exco (77).

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Okt.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment