Sunday, September 06, 2015
Akar Umbi Perlu Fokus Serang Agenda Pembangkang, Bukan Serang Kepimpinan Parti Sendiri – Ismail Sabri
MASJID TANAH : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Sri Ismail
Sabri Yaakob mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa parti hari ini sedang
menghadapi ujian yang amat getir ekoran daripada parti dan pemimpin UMNO
kini sedang diserang dengan fitnah yang dilakukan secara terbuka dan
pada sepanjang masa.
Namun menurut beliau, apa yang lebih menggetirkan dari itu ialah
apabila ada sesetengah ahlii dan pemimpin UMNO hari ini bersikap seperti
pembangkang malah tanpa menyedari mereka telah menjadi sebahagian suara
pembangkang untuk menyebarkan fitnah terhadap pemimpin dan parti.
“Ini adalah satu perkara yang perlu dipandang serius pada hari ini.
Dulu pun memang sudah terjadi namun ianya tidaklah amat serius seperti
hari ini. Hari ini apabila fitnah dan serangan terhadap pemimpin kita,
kita lihat ada sikap sesetengah daripada ahli dan pemimpin kita
seolah-olah menjadikan pemimpin parti sebagai musuh utama mereka, bukan
lagi pembangkang.
“Cuba kita lihat apa yang dilakukan oleh sebahagian dari kita
sepanjang enam bulan yang lepas ketika isu 1MDB mula timbul. Kita
seolah-olah melupakan apa yang dilakukan oleh pembangkang dan mula
mengkritik dan menyerang, malah lebih malang lagi menyebarkan
fitnah-fitnah yang memburukan parti dan pemimpin kita sendiri.
“Sedangkan hakikatnya kita sepatutnya fokus dan memberikan tumpuan
untuk menyerang pembangkang namun ia berlaku sebaliknya. Ini adalah
sikap taksub dan terpengaruh dengan fitnah yang dilakukan oleh
pembangkang terhadap pemimpin kita, sebahagian dari kita menyerang
presiden parti kita seolah-olah beliau sudah terbukti melakukan
kesalahan tersebut,” tegas beliau dalam ucapan perasmian serentak sayap
Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah bertempat di
Institut Kemahiran Belia Negara di sini hari ini.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa ahli UMNO perlu kembali
menumpukan fokus terhadap sikap dan salah laku pembagkang di mana hari
ini begitu banyak perkara yang dilakukan oleh pembangkang boleh
mengancam asas-asas fundamental yang menjadi dasar perjuangan UMNO sejak
dulu hingga ke hari ini.
“Baru-baru ini saya dijemput untuk merasmikan persidangan UMNO
bahagian Jelutong di Pulau Pinang. Saya diberitahu oleh rakan-rakan kita
di sana bahawa hari ini, kerajaan Dap sudah mula menukar status tapak
masjid kepada status rumah ibadah.
“Ini bermakna, tapak tersebut bukan lagi khusus untuk pembinaan
masjid, tetapi juga rumah-rumah ibadah agama lain, walhal pada asalnya
memang tanah itu diberikan untuk pembinaan masjid.
“Ini bermakna di masa akan datang, jika kerajaan Dap mahu membina
rumah-rumah ibadah agama lain di tapak tanah yang sudah dikhususkan
untuk masjid, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana status tanah
itu sudah ditukar kepada status tanah rumah ibadah. Apakah ini yang kita
mahukan?,” tegasnya.
Justeru itu kata Ismail lagi, isu-isu sebeginilah yang sepatutnya
diserang secara habis-habisan oleh ahli-ahli dan pemimpin UMNO di
seluruh negara dan bukannya menghabiskan masa dan tenaga menyerang
kepimpinan parti sendiri.
“Itu di Pulau Pinang, manakala di Selangor pula kita boleh lihat
isu-isu lama seperti isu air masih tidak selesai. Dan baru-baru ini,
timbul isu yang begitu serius iaitu DEIG, sebuah syarikat RM2 yang
diberi kuasa untuk memonopoli urus niaga aset negeri yang bernilai lebih
RM30 bilion.
“Inilah isu-isu yang sepatutnya ahli-ahli UMNO serang habis-habisan.
Namun perkara ini tidak berlaku sebaliknya sebahagian ahli-ahli UMNO
asyik sibuk menyerang pemimpin sendiri sehinggakan pembangkang boleh
tersenyum senang hati kerana kita, ahli UMNO sendiri telah mengambil
alih tugas mereka menyerang Presiden UMNO.
“Kita ahli-ahli UMNO perlu sedar, bahawa inilah agenda pembangkang
untuk melemahkan parti kita.
Fitnah pembangkang ini bukan satu perkara
yang baru berlaku, bukan hanya ketika isu 1MDB timbul tetapi ianya sudah
lama berlaku di dalam parti kita.
“ Jadi saya mohon dan merayu kepada semua ahli-ahli dan kepimpinan
UMNO, agar kembali semula ke landasan asal dan janganlah terpengaruh
dengan jarum halus pembangkang yang mahu melihat kehancuran kita UMNO
dalam usaha membela Islam, Bangsa dan Tanahair,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment