Sunday, September 06, 2015
Jangan Ada Budaya ‘Burung Unta’ Dalam Kalangan Pemimpin UMNO – TPM Ahmad Zahid
PASIR SALAK : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi hari ini mengingatkan pemimpin UMNO sama ada di peringkat
cawangan atau bahagian supaya tidak mengamalkan budaya ‘burung unta’.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata dalam erti kata
lain, beliau tidak mahu ada kalangan pemimpin yang hanya melepaskan
beban kepada orang lain.
“Bila ada rusuhan datang, bila orang pergi attack (serang), dia (burung unta) sorokkan kepala dia.
“Kalau nak jadi burung, jadi burung betul, nak jadi unta, jadi unta
betul, kalau ada masalah jangan disorokkan badan, jangan disorokkan
kepala, ini ada masalah musuh datang, sorok kepala kita.
“Kita sering melupakan apa yang kita telah dapat tapi kita
mengharapkan sesuatu yang baru sebab kita rasa tak pernah puas hati apa
yang kita dapat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak 2015, di sini hari ini.
Turut hadir anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul
Rahman yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ahmad Zahid berkata sekiranya budaya ‘burung unta’ itu ditanam dalam
kalangan pemimpin UMNO, maka parti akan menempa kegagalan dan bukan
mudah mendapatkan semula kepercayaan tersebut.
“Kita lihat seperti mana kita (pernah) kecundang di tiga buah negeri
iaitu di Perak, Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, Menteri Besar
ketika itu, Allahyarham Datuk Mohamed Yaacob, dia diajar oleh
orang-orang UMNO sendiri, yang tidak suka dia ketika itu, nak kurangkan
undi, akhirnya negeri Kelantan lebih 22 tahun sekarang ini, tak dapat
diambil.
“Di Terengganu, marah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ketika itu menteri
besar, nak ajar sedikit.. Nasib baik naik balik. Di Perak, Datuk Tajol
Rosli juga pernah menghadapi masalah yang sama.
“Kalau bukan ketika itu Datuk Seri Najib (Tun Razak) yang jadi
Pengerusi Perhubungan UMNO dan saya jadi Timbalan Pengerusi UMNO Perak
ketika itu, sampai sekarang saya rasa masih orang lain yang jaga,”
katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta agar perwakilan sentiasa
memperkukuhkan perpaduan kerana pada ketika ini, pembangkang cuba
memecahbelahkan UMNO dari dalam.
“Perpecahan orang Melayu bukan kerana ia diserang dari luar
sebaliknya adalah disebabkan pertelagahan dalaman parti, perbezaan
pendapat dan perasaan tidak puas hati.
“Apabila kebencian dijadikan budaya, itulah perpecahan yang paling
mudah dilakukan. Kita lemah adalah kerana perpecahan dari dalam
peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan anggota Parlimen
Bagan Datoh mengumumkan kelulusan peruntukan RM400 juta bagi membina
jambatan yang menghubungkan Sungai Dulang, Bagan Datoh dan Hujung
Rintis, Pasir Salak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment