Sunday, September 06, 2015
Perkukuhkan UMNO Demi Masa Depan Orang Melayu – Ismail Sabri Yaakob
LABUAN : Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob hari ini meminta anggota UMNO supaya terus memperkukuhkan
parti itu kerana ia memberi kesan terhadap usaha memperjuangkan nasib
orang Melayu pada masa depan.
“Jika UMNO lemah, ia memberi kesan negatif kepada orang Melayu kerana
UMNO adalah parti Melayu terbesar yang dianggotai 3.7 juta ahli parti
di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
persidangan perwakilan UMNO Bahagian Labuan di sini.
Beliau juga kesal dengan tindakan segelintir anggota parti yang
terpengaruh dengan dakyah pembangkang memburuk-burukkan pemimpin parti.
“Sekiranya UMNO lemah, ia bukan sahaja ditanggung Presiden tetapi
juga oleh seluruh anggota parti dan yang menjadi mangsa adalah orang
Melayu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata semua pihak berpendapat tindakan
beberapa peserta perhimpunan Bersih 4 memijak gambar Presiden UMNO Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,
tidak boleh dimaafkan.
Ismail yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata MCA juga mengutuk tindakan itu.
“MCA sudah pun membuat kenyataanya mengutuk tindakan itu yang mana ia
bertentangan dengan budaya sebenar masyarakat Cina. Mereka pun ada
sopan santun, tindakan ini tidak dipersetujui oleh seluruh masyarakat
Cina,” katanya.
“Bagi saya mengeluarkan pandangan, kita benarkan, dan di bawah Akta
Perhimpunan Aman, mereka boleh berhimpun tetapi di tempat yang telah
dikenal pasti dan ditetapkan. Mereka boleh bersuara dan sebelum ini pun
mereka telah bersuara.
“Tetapi dengan tindakan memijak gambar-gambar pemimpin adalah
tindakan provokasi yang perlu ditangani kalau tidak akan mencetuskan
masalah perkauman dalam negara,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment