Sunday, September 06, 2015
Anggap Kerajaan Sebagai Rakan Gen Y – Najib
IPOH : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta
golongan muda menganggap kerajaan Barisan Nasional yang memerintah
negara ketika ini sebagai Rakan Gen Y.
Beliau berkata ini kerana kerajaan memahami, mengiktiraf dan akan melakukan yang terbaik untuk Gen Y di seluruh negara.
“Realitinya ialah, kalau kita hendak menentukan masa depan negara
kita, maka kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu hari ini untuk
membentuk Gen Y kita supaya mereka dapat memperlihatkan jati diri yang
kukuh, yang ada nilai-nilai murni dan mempunyai keupayaan untuk bersaing
dan membawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih unggul dan hebat
lagi.
“Saya tidak terima bila orang kata Gen Y ni secara semula jadi
bersikap antikerajaan… sebaliknya belia mempunyai potensi dan kita mesti
bangunkan potensi mereka kerana inilah asas tapak untuk Malaysia yang
lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Silver
Youth Fest’ anjuran kerajaan negeri Perak bersempena Program Tahunan
Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2015 di Taman DR
Seenivasagam di sini hari ini.
Najib berkata Gen Y mempunyai dua elemen penting iaitu tenaga dan
dinamisme yang perlu diiktiraf dan dibawa ke saluran betul agar mereka
boleh menjadi generasi yang produktif dan menyumbang ke arah kejayaan
negara.
“Sehubungan ini, saya setuju bahawa pendekatan konvensional tidak
boleh dilakukan dan tidak boleh diterima oleh Gen Y dan generasi muda.
“Kalau kita bercakap, ibarat kata orang putih, ‘talking down to the
youth’ (dengan cara meninggikan diri) sudah tentu mereka akan menolak
pendapat dan pandangan kita sebaliknya kita mesti menyelami denyut nadi,
isi hati, pemikiran, cita rasa dan aspirasi Gen Y sebagai cara kita
memahami dan menghayatinya, maka kita boleh menggubal dasar dan program
yang sesuai dengan cita rasa Gen Y.
“Inilah pendekatan yang harus dilakukan dan nampaknya kerajaan negeri
Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Zambry (Abdul Kadir) sudahpun
faham,” katanya.
Beliau berkata sehubungan itu, semua pihak perlu menggunakan platform
seperti program Silver Youth Fest bagi memperlihatkan bahawa kerajaan
pada masa ini berhasrat membangunkan para belia sesuai dengan hati
nurani serta cita rasa mereka dan bukan mengikut kehendak kita.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ‘youth city’ atau Bandar belia akan diwujudkan di Tanjung Malim.
“Hari ini saya nak umumkan bahawa salah satu projek perintis yang
kita nak buat untuk negara kita ialah untuk mewujudkan ‘youth city’ dan
salah satu daripada ‘youth city’ yang pertama kita nak buat ialah di
Tanjung Malim di mana segala perancangannya kita khususkan kepada
keperluan Gen Y kita dari segi peluang pekerjaan, dari segi rekreasi,
dari segi rumah berapa bilik dan sebagainya.
“Youth city ini adalah cerminan bahawa kerajaan yang ada pada hari
ini memahami, menghayati dan mahu melakukan yang terbaik untuk Gen Y,”
katanya sambil menambah idea untuk melibatkan generasi muda dalam
program hari ini adalah cadangan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 1,000 orang melakukan kayuhan basikal sejauh satu kilometer.
Mereka dilepaskan Rosmah, yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan
Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI),
pada 10.10 pagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment