Sunday, September 06, 2015
Tidak Benar M’sia Bakal Bankrap – KS Perbendaharaan
PUTRAJAYA : Dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi bankrap
berikutan kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak adalah
tidak benar, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan
Serigar Abdullah.
Beliau berkata ekonomi negara ketika ini masih berkembang kukuh pada
kadar melebihi lima peratus dengan pelbagai pembaharuan akan dibuat bagi
memastikan kerajaan terus berbelanja secara berhemah.
Katanya selain Malaysia, banyak negara yang bergantung kepada ekonomi
berasaskan komoditi seperti Australia, Rusia dan Brazil mengalami
kejatuhan nilai mata wang yang lebih teruk berikutan penurunan harga
minyak dunia dan pengukuhan dolar Amerika.
“Sekarang ekonomi kita masih berkembang dan lebih kukuh berbanding
krisis kewangan 1997/1998 di mana perkembangan ekonomi kita ketika itu
adalah negatif.
“Namun ketika ini kita masih lagi boleh membayar gaji kakitangan
awam. Kalau kita nak bankrap, kita tak mampu bayar (gaji),” katanya
ketika menyampaikan ucaptama sempena rakaman program bual bicara khas TV
Alhijrah bertajuk ‘Tea Time With Managing Director of Shell Malaysia,
Azman Ismail’ di sini hari ini.
Bagaimanapun Mohd Irwan mengakui kerajaan berhadapan dengan cabaran
yang amat besar ketika ini berikutan masalah ekonomi dan ketidakstabilan
politik yang berlaku serentak.
“Bagi saya keadaan sekarang amat mencabar. Tidak pernah berlaku dalam
sejarah negara berlaku masalah politik, ekonomi dan kejatuhan ringgit
serentak.
Banyak yang perlu kita selesaikan,” jelasnya.
Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang
dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul
Wahid Omar merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan bagi mengatasi
krisis ekonomi negara.
Mohd Irwan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan
mengumumkan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan cadangan daripada
jawatankuasa itu tidak lama lagi selain pengumuman Bajet 2016 pada 23
Okt depan.
“Inilah antara perancangan kerajaan. Bukan semuanya cantik, setiap
negara ada kekurangan tetapi kita cuba perbanyakkan perkara yang baik
supaya ekonomi negara kekal kukuh,” jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment