Sunday, September 06, 2015
Tidak Adil Najib Letak Jawatan Melainkan Beliau Terbukti Bersalah – Rahman
KUALA LUMPUR : Gesaan sesetengah pihak supaya Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan adalah tidak adil
memandangkan siasatan yang sedang dijalankan berkaitan dana RM2.6 bilion
masih belum selesai.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman
Dahlan berkata masyarakat perlu menghormati perdana menteri, yang secara
peribadi membuat permintaan supaya siasatan itu dijalankan, suatu
tindakan yang mencerminkan keterbukaan dan ketelusan.
“Saya tidak fikir perdana menteri perlu tunduk kepada tekanan… kita
perlu tunggu sehingga siasatan selesai, dan jangan lupa hakikat bahawa
beliau sendiri turut meminta agar siasatan dijalankan,” katanya pada
sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Wangsa Sari, di sini hari ini.
Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, menyelar penghasut yang akan membangkitkan tuduhan
baharu selepas tuduhan mereka sebelum itu didapati tidak benar.
“Masyarakat lupa bahawa dakwaan asal oleh WSJ (Wall Street Journal)
adalah dana RM2.6 bilion daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad),
justeru ia adalah wang rakyat. Tetapi walaupun perdana menteri menafikan
dan SPRM kemudian menyatakan ia bukan daripada 1MDB, pihak yang menuduh
ini bukan sahaja tidak meminta maaf, mereka malah terus membangkitkan
dakwaan baharu,” katanya.
Abdul Rahman turut menolak percubaan mengadakan undi tidak percaya
terhadap perdana menteri dengan berkata Najib tidak akan terjejas dengan
percubaan itu.
“Saya tidak fikir undi tidak percaya akan berbangkit sama sekali…
bagaimanapun, sekiranya ada, kami percaya perdana menteri akan bertahan
dengan jayanya,” katanya, dan menambah, sokongan anggota parlimen dari
Sabah dan Sarawak terhadap perdana menteri tetap kukuh.
Mengenai khabar angin pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana
menentang kepimpinan parti, Abdul Rahman berkata keadaan itu akan lebih
menjejaskan parti.
“Di sudut hati saya, saya tidak fikir ia akan berlaku… saya tidak
dipanggil untuk membincangkannya (perkara itu). Namun secara peribadi,
saya rasa ia bukanlah langkah yang bijak,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment