Sunday, September 06, 2015
Anggota UMNO Perlu Kikis Sifat Hasad Dengki – Ahmad Zahid
ALOR GAJAH : Sifat hasad dengki menebal merupakan kelemahan
orang Melayu yang perlu dihapuskan bagi memastikan perpaduan sentiasa
kukuh terutamanya dalam kalangan anggota UMNO, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO itu berkata musuh politik UMNO melihat hasad
dengki sebagai suatu kelemahan yang perlu diambil kesempatan dan mahu
sifat itu berterusan malah lebih menebal.
“Sejarah memperlihatkan empayar dan tamadun Islam jatuh disebabkan
berlakunya khianat, hasrat dengki dan benci-membenci malah ada yang
sanggup berkompromi dengan musuh.
“Khianat, hasrat dengki dan benci-membenci ini akan kurangkan juga
akan mengikis kekuatan, agama dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu
terutama kita ahli UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron juga
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka; Timbalan Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan
Puteri UMNO; dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh merangkap
Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Ahmad Zahid berkata ketentuan untuk meletakkan kedudukan seseorang
itu adalah urusan Allah dan hamba-Nya tidak sepatutnya mempersoal
ketentuan itu dengan mempunyai sifat hasad dengki.
“Kedudukan seseorang itu sangat jelas, kita boleh berusaha dan
tawakal kepada Allah sebab qada dan qadar itu boleh ditukar dengan doa.
“Tetapi hakikatnya apabila seseorang diletakkan di tempatnya, sama
ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau pusat, maka sokongan
dan dokongan perlu diberi secara padu,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau menegaskan perpecahan di kalangan anggota UMNO kerana
menyokong pemimpin tertentu perlu ditamatkan serta-merta dan anggota
UMNO di setiap peringkat perlu bersatu di bawah satu sokongan dengan
menyokong satu kepimpinan.
Katanya sifat itu perlu dihapuskan segera kerana anggota UMNO sudah
tidak mempunyai masa lagi untuk berbalah sesama sendiri memandangkan
pilihan raya umum ke-14 sudah semakin dekat bagi memastikan UMNO kekal
memerintah bagi membela nasib rakyat.
Ahmad Zahid berkata perpecahan di kalangan anggota UMNO boleh
menimbulkan persepsi yang negatif terhadap parti keramat orang Melayu
itu.
Beliau berkata UMNO pada masa ini menghadapi ‘peperangan’ persepsi
dan dihukum melalui ‘mahkamah’ pendapat umum, justeru anggota parti
perlu menggunakan minda mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran masa
kini.
“Dahulu kekuatan politik di zaman penjajah berdasarkan kekuatan
senjata, kini politik dipengaruhi kekuatan minda, apabila persepsi
negatif diwujudkan akan jadi negatif, bila positif akan jadi positif,
seseorang itu telah dihukum terlebih dahulu melalui persepsi,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, anggota UMNO perlu lebih kuat terutamanya
dalam menguasai media sosial bagi menangkis segala serangan musuh
politik parti itu.
“Jangan kita gagal dalam peperangan minda melalui media sosial,
jangan sesekali ada anggota UMNO yang ‘menembak’ sesama sendiri dalam
media sosial, hentikan segera,” katanya.
Dalam majlis yang dihadiri 566 perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah
itu juga, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk
menaik taraf Dewan Tun Syed Ahmad Al-Haj, Institut Kemahiran Belia
Negara di sini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment