Sunday, September 06, 2015
Bai'ah: Dulu Tak Pertikai, Sekarang Cari Jalan Keluar Paling 'Ringan'
SHAH ALAM : Beberapa bekas pemimpin PAS yang keluar parti bagi menyertai
Parti Amanah Negara (Amanah) yang kemudiannya 'memandang ringan' isu
bai'ah, jelas membuktikan pendirian mereka yang tidak konsisten dan
boleh mengkhianati janji pada bila-bila masa yang mereka suka, dakwa
Utusan Malaysia.
Menerusi satu ruangan Warung Rakyat, akhbar berkenaan juga mempersoalkan
tindakan beberapa bekas wakil rakyat PAS itu yang tidak mempertikaikan
bai'ah berkenaan ketika melafazkannya sewaktu diangkat menjadi calon
pilihan raya umum, namun mula 'bising' setelah keluar daripada parti
Islam itu.
"Kini, setelah keluar parti mereka mencari hujah dan pandangan yang
paling meringankan. Bai’ah yang sebegitu serius ditebus dengan menjamu
fakir miskin.
"Begitulah, apabila agama dipolitikkan. Yang diyakini dan dipegang
dahulu boleh berubah sesedap rasa, semudah menterbalikkan telapak
tangan,"katanya.
Malah akhbar berkenaan mempersoalkan kaedah 'penebusan' bai'ah atau
bayar kafarah seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Shah Alam,
Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.
"Anehnya mereka yang melanggarnya seperti berbangga dapat menconteng
arang di muka sendiri. Mereka tanpa silu mengumumkan diri telah
melanggar sumpah setia itu dan menebusnya dengan memberi makan orang
miskin," katanya.
PAS menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini
mengesahkan seramai 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat
bukan lagi ahli parti itu sebaik menyertai Amanah.
Selain Dr Mariah dan Khalid Samad, antara bekas pemimpin itu ialah Datuk
Dr Mujahid Yusof (MP Parit Buntar), Dr Hatta Ramli (MP Kuala Krai),
Hanipa Maidin (MP Sepang), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (ADUN Changkat
Jering), Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani), Hasnul Baharudin (ADUN
Morib).
Setakat ini Khalid dan Siti Mariah telah melakukan kafarah dengan
memberi jamuan briyani kambing untuk 40 fakir kerana melanggar bai'ah
PAS apabila menyertai Amanah.
Sementara itu, Dr Hatta pula 'terheret' dengan lafaz taklik cerai talak tiga yang terkandung dalam baia'ah di Kelantan.
"Agaknya pemimpin jenis apakah yang sanggup melanggar sumpah janji
dilaknat oleh Allah dan Rasulnya? Dari segi hukum biarlah ulama yang
mengulas atau mahkamah yang menentukan gugur atau tidak talak tiga
pengucapnya.
"Dari segi moral, bagaimanakah masyarakat boleh menerima pemimpin yang
berkelakuan seperti ini, apatah lagi bakal memimpin mereka? Semudah
itukah, dulu terikat, sekarang tidak?
"Mereka sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan. Sebagai pemimpin,
mereka semestinya bertarung habis-habisan memperjuangkan kebajikan
rakyat bukan menimbulkan kontroversi yang mengheret dan meresahkan
masyarakat.
"Tetapi sudah kepalang terlanjur. Kita semua terpaksa juga menghadapi
perilaku wakil rakyat dan politikus yang sengaja tidak mahu menghentikan
laku lancung itu. Mereka hanya mahu orang bertindak adil kepada mereka
tetapi diri sendiri tidak pula mahu bertindak adil kepada orang lain.
Salahnya kita juga yang mengiktiraf dan mengangkat kedudukan mereka,"
tulis akhbar itu lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment