Friday, September 04, 2015
Bot Karam: Pihak ‘Memangsakan’ Pati Berdepan Tindakan Keras – TPM
HUTAN MELINTANG : Pihak yang ‘memangsakan’ pekerja asing dan
pendatang tanpa izin (PATI) sehingga menjadi korban dalam tragedi bot
karam di perairan Sabak Bernam, Selangor semalam berdepan tindakan
keras, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan akan diambil mengikut Akta
Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) yang
memperuntukkan hukuman berat.
“Saya harap mereka tahu bahawa Atipsom dikuatkuasakan beberapa waktu
yang lalu. Pihak APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan PDRM
(Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan bagi memperoleh maklumat
berkenaan dan saya ingin memberitahu mereka yang telah ‘memangsakan’
PATI ini bahawa tindakan undang-undang di bawah Atipsom adalah berat,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi
mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu di Jeti Hutan Melintang, di
sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta
pihak terbabit menghentikan segera aktiviti menyeludup masuk dan keluar
PATI ke Negara ini tanpa memikirkan aspek keselamatan.
“Jangan hanya fikir wang ringgit, fikir nyawa manusia … saya minta mereka hentikan semua perancangan mereka ini,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan Indonesia yang kehilangan rakyatnya dalam tragedi itu.
“Kerajaan Malaysia ingin menyatakan belasungkawa iaitu rasa dukacita
dan sedih di atas kematian 15 rakyat Indonesia dalam tragedi bot karam
di perairan Sabak Bernam,” katanya.
Beliau berkata ketika ini, unit udara APMM dan Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) sedang meneliti liputan di kawasan kira-kira 2,000
kilometer persegi manakala Agensi Penguatkuasaan Kelautan Indonesia
berada di sekitar kawasan 250 kilometer persegi.
Agensi lain yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat ialah
PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Kita akan terus bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia untuk
melakukan beberapa tindakan susulan terutamanya apabila 15 jenazah yang
kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan Hospital
Teluk Intan dan seramai 19 orang yang terselamat dibawa ke APMM Klang
untuk tindakan lanjut,” katanya.
Bot sepanjang 40 kaki itu yang membawa kira-kira 70 penumpang karam
di perairan Selangor pada Khamis pagi ketika dalam perjalanan dari Kuala
Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.
Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment