Friday, September 04, 2015
POTA Dan POCA Imbangi Antara Hak Asasi Manusia Dan Kepentingan Keselamatan Negara
KUCHING : Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta
Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 mengandungi elemen mengimbangi antara hak
asasi manusia dan kepentingan keselamatan negara, kata Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Beliau berkata peruntukan dalam POTA dan POCA yang mengundang
perdebatan adalah elemen tahanan tanpa bicara yang dikatakan sebagai
jelmaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun hakikatnya ia
adalah berbeza sama sekali.
Menurutnya jika sebelum ini, ISA mengundang tohmahan bahawa kuasa
Eksekutif Menteri disalahgunakan bagi mengeluarkan perintah tersebut,
POTA dan POCA memperuntukkan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana
ahlinya dilantik Yang di-Pertuan Agong, untuk membuat keputusan
mengenainya.
“Perlu diingatkan di sini bahawa, undang-undang menentang keganasan
yang diperkenalkan di Parlimen ini bukan berhajat menceroboh hak asasi
rakyat, tetapi bertujuan menjaga keselamatan rakyat dan negara,”
katanya.
“Pengenalan POTA dan POCA ini adalah pendekatan yang berbentuk
perundangan bagi membendung penglibatan rakyat Malaysia dengan kumpulan
pengganas yang jauh menyimpang daripada makna perjuangan sebenar,”
katanya.
Nancy berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Kelestarian
Keselamatan Negara bertajuk ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’
anjuran Institut Tadbiran Awam Negara secara kolaboratif bersama Majlis
Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, di sini hari
ini.
Sementara itu, Nancy berkata secara relatif pasukan keselamatan
negara masih berupaya membendung aktiviti keganasan di negara ini,
bagaimanapun statistik menunjukkan rakyat Malaysia turut terlibat dalam
kegiatan militan di luar Negara meningkat.
“Sejak tahun 2001 hingga Oktober 2014, sebanyak 167 rakyat negara ini
terlibat dengan kegiatan militan antarabangsa. Jumlah ini dilaporkan
meningkat kepada 173 orang setakat 7 April lalu,” katanya.
Beliau berkata dari segi ancaman, tidak ada negara yang boleh member
jaminan 100 peratus bahawa negara mereka bebas daripada ancaman
keganasan namun, pihak berkuasa di negara ini sentiasa komited dalam
memantau, mengumpul bukti dan maklumat risikan.
Katanya dalam isu ancaman gerakan kumpulan militan berpangkalan di
Syria atau Iraq, pihak berkuasa boleh menangkap mana-mana rakyat
Malaysia yang dikesan mempunyai perancangan untuk melancarkan serangan
atau berlepas ke Syria dan menuduh individu tersebut di bawah
undang-undang sedia ada.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment