Monday, September 07, 2015

Kuasai Media Sosial Dialaf Baru Untuk Lawan Musuh.. - TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli UMNO supaya menguasai media sosial bagi menangkis serangan musuh politik yang kini semakin berani memperlekehkan pemimpin serta membawa persepsi buruk mengenai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, langkah itu perlu berikutan kebanyakan ahli UMNO pada masa ini yang bukan sahaja dilihat gagal dalam pe­perangan minda dengan musuh menerusi media sosial, malah turut bergeseran sesama sendiri.

Pada masa sama, Naib Presiden UMNO itu juga menjelaskan, kekuatan politik pada masa dahulu dan kini amat jelas berbeza kerana penguasaan dan kekuatan minda amat penting untuk dijadikan sebagai senjata melawan musuh politik.

"Pada zaman penjajah, kekuatan politik adalah berdasarkan kekuatan senjata, namun kini politik dipengaruhi kekuatan minda."

"Bagaimanapun, jangan kita (ahli UMNO) gagal dalam peperang­an minda melalui media sosial, jangan sesekali ada antara kita ‘menembak’ sesama sendiri dalam media sosial. Perkara itu perlu dihentikan segera," katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah dekat Masjid Tanah, di Melaka, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Ketua Puteri UMNO merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Seterusnya, beliau berkata, pada masa ini 'peperangan' minda berlaku apabila seseorang itu telah dihukum terlebih dahulu melalui persepsi orang lain.

"UMNO pada masa kini menghadapi 'peperangan' persepsi dan dihukum melalui ‘mahkamah’ pendapat umum. Justeru, ahli parti perlulah menggunakan minda mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa," ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment