Thursday, September 03, 2015
Parti Mat Sabu Tolak Cadangan Anwar Ibrahim
Jurucakap Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Hanipa Maidin menolak
cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung
gabungan pakatan baharu yang mahu penyertaan Pas kekal dalam gabungan
pembangkang itu.
Hanipa berkata, Amanah tidak mahu menerima cadangan bekas ketua
pembangkang itu kerana mereka percaya dengan kemasukan Pas dalam pakatan
baharu akan merosakkan lagi hubungan sesama parti dalam gabungan itu
seperti yang berlaku sebelum ini.
Tambahnya, langkah itu tidak realistik kerana kemasukan Pas tidak
diyakini akan membawa permuafakatan dan menguntungkan gabungan
pembangkang baharu itu.
Jelas Hanipa, beliau tidak melihat parti Islam itu sebagai aset yang
dapat membantu pakatan pembangkang yang baharu memenangi pilihan raya
umum (PRU) akan datang.
"Maka saya penuh yakin, mengambil kira realiti politik sekarang,
keberadaan Pas dalam permuafakatan politik baru atau Pakatan Rakyat 2.0
bagi menggantikan PR tidak akan menguntungkan mana-mana parti dalam PR
2.0 itu nanti.
"Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang
ada sekarang saya tidak rasa Pas adalah aset kepada PR 2.0," kata
Hanipa.
Hanipa berkata, DAP juga tidak akan bersetuju dengan cadangan Ketua Umum
PKR itu kerana sememangnya kedua-dua parti itu berbeza pendapat dan
telah memutuskan tahaluf siyasi antara dua parti terbabit.
"Saya juga tidak nampak bagaimana DAP boleh menerima keberadaan Pas
dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu," katanya.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar Pas tidak dimasukkan dalam gabungan
pakatan 2.0 dan membiarkan sahaja Pas bergerak secara solo bagi
menghadapi PRU akan datang.
"Saya menyimpulkan PR atau PR 2.0 hanya mampan jika Pas tidak dilibatkan
sebaliknya ia hanya meliputi PKR, DAP dan PArti Amanah Rakyat saja.
"Biarlah Pas dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agendanya secara solo," ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment