Monday, September 07, 2015

PAS Isytihar Perang Lawan DAP Pada Pilihanraya Umum Ke-14

Selepas lama diperkotak-katik dalam gabungan pembangkang, PAS isytihar perang terhadap DAP dengan bersedia meletakkan calonnya bertanding kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini pada pilihanraya umum ke 14.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya kini sedang meneliti langkah itu termasuk pemilihan calon yang difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Katanya, calon bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS akan mewakili parti bertanding di kerusi yang sudah diputuskan nanti.

“Apabila kita sudah tidak ada kerjasama dengan DAP sekarang ini, sudah pasti PRU akan datang mempunyai perhitungan lain daripada yang lalu.

“PAS tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon, malah kini di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanaraya PAS dan pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili parti kita.

“Saya yakin ada ramai wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang layak serta boleh diketengahkan menjadi calon PAS nanti,” katanya.

Menurutnya, tidak salah jika calon bukan Islam mewakili PAS, selagi mereka mendukung serta menyokong konsep perjuangan parti.

“Mengikut hukum syariat Islam berbeza dengan ideologi lain, Islam boleh melantik orang bukan Islam sebagai menteri, bagaimanapun dari aspek eksekutif bukan pembuat dasar,”katanya ketika ditemui pada program Himpunan Istiqamah PAS di Melang Inn di Seremban, semalam.

Turut serta, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.

DAP dan PAS beberapa bulan lalu menamatkan kerjasama politik ekoran pergeseran kedua-dua parti dalam beberapa hal ketika masing-masing berada di dalam Pakatan Rakyat. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment