Friday, September 04, 2015

PATI Perlu Dapat Dokumen Perjalanan Sehala Untuk Pulang Secara Sah – TPM

HUTAN MELINTANG : Pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI) yang ingin pulang ke negara asal perlu mendapatkan dokumen perjalanan sehala di pejabat kedutaan masing-masing untuk membolehkan mereka pulang secara sah.
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/09/zahid-hamidi-pati.jpg
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sehubungan itu, Pejabat Konsulat atau Kedutaan Besar negara terbabit harus dimaklumkan agar PATI berkenaan dapat pulang ke negara asal.

“Ini adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk memberi pengampunan kepada PATI namun jika mereka berhasrat untuk bekerja semula di negara kita, mereka hendaklah memohon mengikut kaedah yang ditetapkan serta mendapatkan permit kerja sementara iaitu PLKS (pas lawatan kerja sementara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata langkah itu diambil memandangkan ada antara PATI terbabit merupakan mangsa sindiket penyeludupan masuk manusia.

“Jadi, melalui kerjasama dengan Kedutaan Indonesia, dokumen sehala akan diberi kepada mereka dan mereka akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing dan pendakwaan pula di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata 99 peratus daripada PATI terbabit mempunyai dokumen sah ketika mula-mula memasuki negara ini.

“Mereka menjadi PATI disebabkan mereka tinggal melebihi tempoh, ada antara mereka yang ditipu majikan dan dokumen mereka dipegang oleh majikan, atau mungkin ejen yang mengambil dokumen itu…jadi kita perlu berlaku adil kepada mereka,” katanya.

Kepada satu soalan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam agensi penguatkuasaan membabitkan tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam. 

Ahmad Zahid turut mengakui terdapat kekurangan anggota dan aset dalam agensi penguatkuasaan namun menegaskan perkara itu bukan alasan untuk berlaku kelemahan di perairan negara.

“Saya tidak menafikan bahawa kita perlu meningkatkan jumlah anggota penguat kuasa tetapi pada masa sama, ia bukanlah semata-mata tentang penguatkuasaan, ia adalah tentang kesedaran dalam kalangan orang ramai… rakyat Malaysia. 

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram ini, terutamanya penyeludupan manusia, perlu dimaklumkan kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment