KUALA LUMPUR : Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang
bersubahat dengan beberapa pihak menentang Malaysia, dengan angkuh
pernah memberitahu Xavier Andre Justo bahawa beliau sedang “mengubah
masa depan sebuah negara” dan akan meraikannya dengan segelas Champagne
sebaik “Najib tumbang”.
Susulan hukuman penjara ke atas Justo pada 17 Ogos lalu, pendedahan
terbaru menampakkan belang sebenar Rewcastle-Brown dan kesediaannya
melanggar undang-undang dengan membantu Justo mengumpul AS$2 juta
(RM8.62 juta) sebelum didakwa melakukan pengubahan wang haram sebagai
bayaran e-mel yang dicuri daripada bekas majikannya, PetroSaudi
International (PetroSaudi).
Justo, warga Switzerland, kini menjalani hukuman penjara tiga tahun
atas kesalahan memeras ugut bekas majikannya. Bagaimanapun, pasukan
penyiasat Thailand bagi kes itu merungkai tahap kesungguhan
Rewcastle-Brown bersama rakan subahatnya bagi menggulingkan kerajaan
Datuk Seri Najib Razak.
Menurut sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Thailand, pendedahan
itu antara lain merangkumi perbualan menerusi WhatsApp selama tiga bulan
membabitkan Rewcastle-Brown, pengurusan kanan Kumpulan Media The Edge
iaitu Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat serta Justo, yang menawar untuk
menjual data dicurinya kepada pembida tertinggi.
Pada 15 Julai lalu, akhbar New Straits Times (NST) melaporkan
kenyataan bekas editor Sarawak Report yang mendakwa Rewcastle-Brown
memalsukan beberapa dokumen untuk memfitnah 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dan Najib, menerusi beberapa pendedahan portal berita itu.
Editor terbabit, Lester Melanyi, dikatakan turut menamakan beberapa
individu termasuk ahli politik terkemuka pembangkang sebagai antara yang
terbabit dalam konspirasi menggulingkan kerajaan. Perbualan di WhatsApp
itu, kata sumber, turut mendedahkan keakraban hubungan Rewcastle-Brown
dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani
hukuman penjara; Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan bekas Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mahu Jatuhkan PM
Dalam satu perbualan WhatsApp dengan Rewcastle-Brown pada 19 Mac 2015
lalu, Kay Tat didakwa menulis (terjemahan): “Artikel anda seolah-olah
menggambarkan anda ingin menjatuhkan Perdana Menteri. Kami dituduh
bekerjasama dengan anda dengan tujuan menggulingkan PM (Perdana
Menteri).”
Rewcastle-Brown didakwa menjawab: “Saya yang menulis berita ini,
bukan anda. Penuhi komitmen anda dan saya akan pergi tanpa memberitahu
sesiapa.”
Beliau kemudian menyebut “mungkin kita telah mengubah hala tuju sebuah negara”.
Mesejnya pada Jun lalu berbunyi: “Kami merancang satu lagi pendedahan
sebelum pilihan raya negeri (Sarawak). Saya akan meraikannya apabila
Najib tumbang. Saya sudah mendapat beritanya menerusi orang Anwar. Saya
menggunakan Dr Mahathir untuk mendapatkan sumber maklumat lain.”
Justo mendakwa dijanjikan AS$2 juta sebagai pertukaran data yang
dicuri daripada bekas majikannya. Dalam temu bual di penjara bersama
akhbar Straits Times Singapura baru-baru ini, Justo mendakwa tidak
menerima bayaran yang dijanjikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka
dari Malaysia.
Sumber Thailand kemudian mengesahkan Kooi Ong sebagai ahli perniagaan
terbabit. Menerusi satu lagi temu bual, Justo mendakwa persetujuan
berhubung urusan jual beli dokumen berkenaan dicapai di Singapura pada
Februari tahun ini, disusuli perbincangan panjang lebar mengenai kaedah
pembayaran terhadapnya.
Kumpulan individu yang ditemui Justo di Singapura bagi berunding soal
penjualan data terbabit, dinamakan dalam pengakuan 22 muka suratnya
kepada polis Thailand. Justo turut mengulangi apa yang dikatakan polis
Thailand baru-baru ini, iaitu pengakuannya disokong dengan dokumen
termasuk rekod perbualan WhatsApp dengan pembeli berkenaan.
“Apa yang ditulis dalam pengakuan saya itu, sebahagian besarnya
dibuktikan menerusi perbualan e-mel, mesej WhatsApp saya dengan mereka,”
katanya.
Beliau mendakwa, Rewcastle-Brown bersetuju menerima AS$2 juta
daripada pembeli dan memberinya AS$250,000 (RM1.07 juta) sebulan sebagai
bayaran perkhidmatan rundingan.
“Saya tidak tahu sama ada dia menerima duit itu atau tidak, (kerana) saya ditangkap. Saya tidak tahu,” katanya.
Sumber Thailand berkata, dalam perbualan panjang lebar menerusi
WhatsApp, Rewcastle-Brown turut menjelaskan bagaimana beliau akan
membantu Justo mendapatkan AS$2 juta sebelum melakukan pengubahan wang
haram.
Awalnya, beliau cuba menggunakan SJS Limited di Singapura bagi
menyalurkan dana berkenaan bersama abangnya yang juga Pengarah SJS,
Patrick Rewcastle.
Pada 19 Mac, Rewcastle-Brown mengesahkan komisyen bagi pemindahan
haram itu dan berkata: “Lelaki itu mahu mengenakan bayaran 67,000 Euro
(RM321,929). Saya yakin dia tidak akan menipu.”
Rewcastle-Brown kemudian menawarkan Dana Bruno Manser yang juga warga
Switzerland, sebagai saluran bayaran AS$2 juta itu dan pada 22 April
menulis: “Dia boleh membuat bayaran ke Dana Bruno Manser jika dia mahu.”
Beliau akhirnya bersetuju menjual Sarawak Report untuk membayar
Justo. Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan perbualannya dengan
Justo:
19 Mei (4:32 petang): Dia ingin membayar menerusi
syarikat BVI (British Virgin Island)!! Ia akan kelihatan teruk dalam
akaun rasmi saya! Saya akan berbincang secara bersemuka. Itu lebih baik
daripada berunding dengan KT yang teruk itu.
19 Mei (4:37 petang): Mereka akan kata saya mengkritik syarikat BVI tapi saya sendiri menggunakannya. Aduh.
19 Mei (5:11 petang): Saya akan berkempen bagi mengelak tempat
berlindung cukai ini. Mereka akan menggelarkan saya hipokrit. Saya tidak
akan membuat bising sehingga saya berjumpa mereka dan mencari
penyelesaian dengan Tong.
Sebelum ini, Rewcastle-Brown menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai
mengarut. “Apa yang saya siarkan mengenai 1MDB dan diperjelaskan oleh
The Edge serta disokong beberapa sumber rasmi adalah penjelasan yang
konsisten, berbanding cerita 1MDB yang kerap dilihat mengelak serta
berubah,” katanya.
Mengaku Perdaya Justo?
Pada 24 Julai lalu, Kooi Ong dan Kay Tat mengeluarkan kenyataan
sebagai menjawab temu bual Justo yang disiarkan Straits Times.
Kedua-duanya mengaku memperdayakan Justo dan menganggap ia adalah
satu-satunya cara untuk mendapatkan bukti.
Mereka turut menegaskan tidak membayar sesiapa untuk mendapatkan
berita berkenaan.
“Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata mereka.
Polis Thailand menahan Justo, 48, pada 22 Jun lalu di kediaman
mewahnya di pulau peranginan Koh Samui. Bekas Ketua Teknologi Maklumat
PetroSaudi di pejabat London itu, mengaku mencuri data syarikat –
bersaiz kira-kira 90 gigabait – ketika meninggalkan PetroSaudi pada
tahun 2011. Beliau meminta lebih banyak bayaran daripada PetroSaudi pada
2013 tetapi tidak diendahkan.
Susulan itu, Justo diperkenalkan dengan Rewcastle-Brown menerusi
kenalan di Geneva yang mempunyai rangkaian di Malaysia. Justo kemudian
menemui Rewcastle-Brown di Plaza Athenee di Bangkok dan Fullerton Hotel
di Singapura. Di Singapura, Rewcastle-Brown ditemani oleh mereka yang
dinamakan dalam pengakuan Justo. Ketika dihubungi, Rewcastle-Brown, Kooi
Ong dan Kay Tat tidak menjawab panggilan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment