Sunday, September 06, 2015
PRU14 : GHB Sedia Bertanding Atas Nama Parti Pekerja
KUALA LUMPUR : Gerakan Harapan Baru sedia mempertaruhkan Parti
Pekerja-pekerja Malaysia pada PRU14 akan datang sekalipun parti itu
gagal dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) oleh
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Setiausahanya, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Harapan Baru tidak lagi
ragu-ragu kerana NGO itu sudah mempunyai platform politik yang kukuh dan
sah, bagi membolehkan ia turut serta menyaingi parti politik lain dalam
pilihan raya akan datang.
“Itu tiada masalah, bila-bila masa kita boleh bertanding kerana kita
sudah ada kapal dan rumah, tetapi yang lebih penting kita bukan baru
dalam politik.
“Tengoklah wajah-wajah itu, kami ini ahli politik yang berpengalaman,
sudah lalui keadaan baik dan sukar, kita telah lalui semuanya, kami
bersedia dengan apa juga cabaran dan rintangan,” katanya memetik laporan
Sinar Online, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur
Jazlan Mohamed yang mengatakan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tidak
boleh dijenamakan semula sebagai Amanah kerana ia bukan parti politik
tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.
Nur Jazlan berkata, Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah
sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi Perlembagaan parti
pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan ROS.
Dalam pada itu, Dzulkefly juga berkata, kekangan untuk menukar nama lama
kepada baharu bukan satu halangan untuk pihaknya meneruskan agenda yang
lebih penting, iaitu untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.
“Ya, asalkan Pakatan Rakyat 2.0 tertubuh, usaha itu perlu didahului dengan penubuhan satu wadah politik baharu,
“Apa pun namanya, dalam Islam, sesuatu itu dinilai dari sudut isinya,
bukan pada namanya, kalau dapat dua-dua lagi cantik, dalam Islam bukan
nama tapi apa kandungannya,” ujarnya.
Ditanya tentang Harapan Baru terdesak hingga terpaksa menggunakan parti
yang berasaskan pekerja, beliau bagaimanapun menafikan perkara tersebut
sambil menegaskan pemilihan parti itu kerana mempunyai matlamat sama
untuk memperjuangkan nasib rakyat.
“Bukan soal terdesak, kami pilih parti ini kerana mereka ini pekerja,
mereka ini datang membawa satu agenda yang akhirnya mengangkat
kepentingan pekerja sebagai satu segmen rakyat yang hari ini mereka
fikir terpinggir,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment